Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Restoran tengah malam

    Oleh Aqilah HMS –

    Nama aku Zul. Aku seorang jurugambar bebas yang sering menjelajah ke tempat-tempat aneh dan terpencil untuk mencari inspirasi. Kisah ni berlaku tiga bulan yang lalu. Pada masa itu aku menerima mesej daripada seorang kenalan lama, Kamal, yang kini bekerja dengan sebuah majalah misteri tempatan.

    Dia mencadangkan aku menyiasat satu kisah urban legend yang dikatakan berlaku di sebuah kampung terpencil di daerah pedalaman. Katanya, ada sebuah restoran yang hanya muncul dan dibuka pada waktu tengah malam, dan pada waktu siang, tempat itu hanyalah kawasan semak samun yang tidak pernah terusik.

    Aku yang sememangnya suka cabaran pelik seperti ini, terus bersetuju.

    Kami bertolak pada petang Jumaat, sepatutnya kami bertolak dari pagi lagi tapi disebabkan tayar kereta Kamal pancit jadi kami pun memutuskan untuk bertolak pada sebelah petang.

    Semasa kami sampai di kampung itu, aku sedikit hairan kerana tempat itu sangat sunyi, seolah-olah lama ditinggalkan. Rumah-rumah kayu tua berdiri lesu dan penduduk yang kami temui di warung nampak berat mulut apabila kami bertanya tentang ‘Restoran Tengah Malam’.

    Gambar Freepik

    Seorang pakcik tua akhirnya bersuara, perlahan.

    “Kalau nak tahu, kau tunggulah di simpang jalan lama dekat hujung kampung tu. Tapi jangan silap langkah. Ramai yang tak balik bila masuk ke situ malam-malam.”

    Aku dan Kamal hanya tersenyum, menganggap ia sekadar cerita untuk menakutkan orang luar.

    Malam itu, tepat pukul 11:45 malam, kami sampai di simpang yang dimaksudkan. Hutan tebal mengelilingi kawasan itu dan jalan tanah merah yang ditunjukkan pakcik tua tadi kelihatan langsung tidak pernah dilalui sesiapa.

    Tiba-tiba, tepat pukul 12 pagi, cahaya mula kelihatan di hujung jalan. Lampu yang samar-samar menyala dan dari celah rimbunan pokok, sebuah bangunan kayu dua tingkat usang tiba-tiba bertukar menjadi sebuah restoran dan terdapat sebuah papan tanda lusuh tergantung, bertulis ‘Restoran Selera Bonda’.

    Peliknya, restoran itu tampak meriah. Ada orang keluar masuk dan kami boleh dengar bunyi pinggan mangkuk, muzik klasik Melayu serta bau masakan yang menyelerakan.

    Kami berpandangan.“Ini betul-betul ke?” bisik Kamal.

    Kami melangkah ke dalam restoran itu. Dekorasinya klasik — kayu jati gelap, lampu gantung antik, dan pelayan yang berpakaian seperti era 1960an. Semua pelanggan di dalam berpakaian sopan, tidak seorang pun bermain telefon atau bercakap bising. Wajah mereka kelihatan terlalu tenang.

    Kami duduk di satu sudut. Seorang pelayan wanita datang membawa menu tanpa sepatah kata. Pakaian mereka seperti biasa, jadi kami tak syak apa-apa.

    Menu restoran tu hanya ada tiga pilihan, Sup Tulang Istimewa, Nasi Daging Warisan dan teh herba. Aku pilih sup, Kamal ambil nasi.

    Tak lama kemudian, makanan sampai. Bau masakannya luar biasa sedap. Tapi sebaik saja aku suap suapan pertama, satu rasa aneh menyelubungi lidah — seperti darah, besi dan herba basi. Aku toleh pada Kamal, wajahnya sudah pucat. Dia menolak pinggan jauh-jauh.

    “Zul… makanan ni… ada bau busuk. Macam bau bangkai,” katanya perlahan.

    “Iyaa…” kata aku perlahan.

    Kami toleh dan perhati orang-orang sekeliling yang datang makan di sana. Mereka semua makan dengan lahap. Seperti belum makan berhari-hari.

    Aku cuba teruskan makan dan cuba positif. “Mungkin kami sahaja yang rasa makanan ni pelik,” kata aku dalam hati.

    Tapi bila aku nak sambung makan, aku tiba-tiba rasa loya dan berhenti makan serta-merta.
    “Jom balik,” kata aku pada kamal. “Jom.”

    Kami bangun, cuba bayar, tapi pelayan itu hanya senyum — senyum yang sangat tidak wajar, seperti patung lilin.

    “Tidak perlu bayar… kamu sudah pun membayar dengan kehadiran,” bisik pelayan restoran tu kepada kami.

    Kami keluar dengan tergesa-gesa. Restoran itu kelihatan masih sibuk dari luar. Tapi saat kami melangkah melepasi sempadan jalan masuk, semua cahaya di belakang kami padam.

    Lebih menghairankan, bila kami menoleh semula — restoran itu telah hilang. Yang tinggal hanya semak samun dan pokok besar tua yang berselirat dengan akar.

    Kami segera bergegas pulang ke rumah penginapan.

    Keesokan paginya, kami pergi semula ke tempat itu — dan seperti yang diceritakan, hanya ada hutan tebal.

    Tiada tanda sebarang bangunan pernah wujud di situ. Tapi yang membuatkan bulu roma aku meremang — aku jumpa sudu yang sama digunakan malam tadi, separuh tenggelam dalam tanah.

    Kisah ini terdengar seperti rekaan, tetapi itulah yang benar-benar terjadi. Aku dan Kamal pun masih terkesan dengan apa yang berlaku kepada kami. Sehingga kini aku tidak pernah ikut Kamal lagi untuk pergi mana-mana tempat seram.

    Aku jadikan hal ini sebagai pengajaran agar tidak sewenang-wenangnya pergi ke tempat ‘mereka’ dan sememangnya ‘alam sebelah’ itu memang wujud.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda