HONG KONG, 21 JUN – Restoran terapung ikonik di Hong Kong, Jumbo Floating Restaurant telah terbalik di Laut China Selatan kurang seminggu selepas ia ditunda keluar dari bandar, menurut kenyataan syarikat induknya kelmarin.
Restoran itu mengalami ‘keadaan teruk’ pada Sabtu ketika ia melalui Pulau Xisha, yang turut dikenali sebagai Pulau Paracel, di Laut China Selatan, dan air mula memasuki kapal tersebut lalu terbalik, menurut Aberdeen Restaurant Enterprise Ltd.
Syarikat berkata tiada sesiapa yang mengalami kecederaan, namun usaha untuk menyelamatkan kapal itu gagal dan ia terbalik pada Ahad.
“Ketika kedalaman air melebihi 1,000 meter, ia membuatkannya sangat sukar untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia turut berkata syarikat ‘merasa sangat sedih mengenai kejadian itu’.
Jumbo Floating Restaurant, yang panjangnya hampir 80 meter, merupakan sebuah mercu tanda di Hong Kong selama lebih empat dekad, menyajikan hidangan Kanton kepada lebih tiga juta pengunjung termasuk Ratu Elizabeth II dan Tom Cruise.
Ia ditutup pada 2020 disebabkan oleh pandemik dan terpaksa memberhentikan semua kakitangannya. Aberdeen Restaurant Enterprises berkata restoran itu menjadi beban kewangan kepada pemegang sahamnya, dengan berjuta-juta dolar dibelanjakan untuk memeriksa dan menyelenggara kapal berkenaan meskipun tidak beroperasi.
Restoran itu ditunda Selasa lalu. Syarikatnya berkata ia merancang untuk memindahkannya ke lokasi yang lebih murah untuk kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.- AP