Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 29 Sept – Restu ibu bapa dan guru-guru mampu menjadi kekuatan kepada pelajar untuk menghadapi peperiksaan di samping sokongan berterusan daripada pihak sekolah.
Sehubungan itu, Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman (SMSO), Tutong telah mengadakan Majlis Restu Ilmu bagi lebih 200 orang pelajar yang akan menduduki Peperiksaan BGCE ‘O’ Level, IGCSE dan SPE yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, kelmarin.
Majlis telah diisikan dengan tazkirah bertajuk ‘Celik Mata Hati’ yang disampaikan oleh Guru Agama Terlatih Tingkat Khas, Sekolah Ugama Beribi Gadong, Awang Azlee @Abus Salam bin Haji Ali.
Tazkirah antara lain menekankan tentang kepentingan dan manfaat zikrullah terhadap diri pelajar sebelum menduduki peperiksaan dan seterusnya mengongsikan tentang terapi air.
Adapun objektif tazkirah adalah untuk memberi kefahaman kepada pelajar untuk lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada agar tidak terjebak dengan gejala sosial serta memberikan motivasi kepada pelajar untuk tetap bersemangat belajar dan mencapai kejayaan.


Majlis Restu Ilmu juga menyaksikan para pelajar menulis surat atau warkah pelajar kepada ibu bapa dan guru serta rakan-rakan, bersalaman bersama guru-guru, ibu bapa dan juga pelajar.
Majlis berkenaan merupakan langkah dan persediaan terakhir calon BGCE ’O’ Level dan IGCSE dan SPE untuk menghadapi peperiksaan sebenar.
Program diadakan untuk menyediakan dan membekalkan keyakinan kepada pelajar-pelajar dari segi rohani, fizikal dan mental sebelum dan semasa menduduki peperiksaan sebenar kelak.