Aku tak pernah sangka, harta peninggalan arwah ibu bapa boleh jadi punca kami adik-beradik berpecah. Dulu, kami satu keluarga yang rapat. Setiap kali cuti panjang, rumah pusaka di kampung akan penuh dengan gelak tawa, bau masakan emak seolah masih melekat pada dinding dapur dan suara kami bersahut-sahutan memanggil antara satu sama lain. Tapi semua itu berubah sejak isu pembahagian harta mula dibangkitkan selepas arwah ayah meninggal dunia.
Mula-mula, semuanya nampak tenang. Kami berbincang secara baik, kononnya mahu mencari kata sepakat. Tapi semakin lama, nada suara berubah. Ada yang mula berkira, ada yang mula mengungkit siapa yang paling banyak berkorban menjaga orang tua, siapa yang layak dapat lebih.
Aku cuba bersabar, cuba menenangkan keadaan, tapi bila suara meninggi dan tuduhan mula keluar, aku tahu semuanya sudah tidak sama lagi. Aku dituduh tamak, kononnya mahu memiliki tanah pusaka kerana aku yang tinggal paling dekat. Sedangkan aku cuma mahu ia dijaga elok, bukan dijual atau dipecah-pecahkan begitu saja. Tapi siapa yang mahu percaya bila hati sudah dipenuhi syak wasangka? Dari hari ke hari, hubungan kami makin renggang. Ada yang sudah tidak mahu menjawab panggilan, ada yang berpura-pura tak nampak bila bertemu di majlis keluarga.
Kadang-kadang aku duduk termenung di beranda rumah peninggalan ayah, memandang halaman yang dulu riuh dengan suara kami bermain. Kini sunyi. Aku terfikir, adakah harta ini benar-benar berharga jika ia memusnahkan kasih sayang antara darah daging sendiri?
Semua orang sibuk menuntut hak masing-masing, sampai terlupa bahawa hubungan keluarga jauh lebih bernilai daripada sebarang tanah atau rumah.
Aku rindukan masa lalu. Rindu saat kami bergelak ketawa tanpa rasa curiga. Tapi mungkin semuanya sudah terlambat. Ego sudah menguasai, luka sudah terlalu dalam.
Razip

NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Razip yang sudi berkongsi kisah yang mendukacitakan ini dengan pembaca Media Permata.
Mungkin inilah antara sebahagian daripada realiti pahit yang sering berlaku dalam keluarga apabila harta peninggalan menjadi punca perpecahan.
Dahulu hubungan adik-beradik yang mesra dan penuh kasih bertukar menjadi dingin apabila isu pembahagian harta dibangkitkan.
Apa yang sepatutnya menjadi perbincangan penuh hormat bertukar menjadi medan pertikaian apabila masing-masing menuntut hak dan mengungkit pengorbanan lampau.
Niat awda yang mahu menjaga rumah pusaka agar kenangan keluar-ga terus hidup, namun disalah erti sebagai tamak.
Akibatnya, kasih yang dahulu erat kini renggang, dan komunikasi terputus kerana ego serta syak wasangka.
Bila hati dikuasai amarah, semua yang indah lenyap, meninggalkan hanya kenangan dan penyesalan.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa harta boleh dicari, tetapi hubungan keluarga yang retak sukar untuk disatukan kembali.
Apa pun diharapkan Razip terus berusaha dengan penuh sabar untuk berbincang dengan baik bersama keluarga dalam mencari jalan terbaik untuk meredakan ketegangan dan menyelesaikan masalah.
Diharapkan agar Razip tidak mudah berputus asa kerana ikatan adik-beradik adalah umpama ‘Air yang dicincang tidak akan putus’.
Lambat laun mungkin suatu hari nanti, ramai akan sedar bahawa tindakan ini adalah emosi semata-mata dan sudi berbincang dengan baik untuk mencapai persetujuan dan akhirnya berbaik semula.









