Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Perkembangan teknologi komunikasi semasa dapat memberi kebaikan dan membantu merapatkan lagi hubungan yang terpisah terutama kepada kalangan penuntut Sekolah Rendah (SR) Dato Godam Tahun 1983-1987 yang telah meninggalkan zaman persekolahan rendah mereka sejak 30 tahun lalu.
Dengan adanya kemudahan aplikasi ‘WhatsApp’, mereka dapat menyatukan kembali rakan-rakan seperjuangan dalam satu perhimpunan Majlis Sua Kembali yang diadakan di Mangrove Paradise Resort, baru-baru ini.
Majlis pertemuan itu diadakan bagi mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan mereka dan bertukar-tukar cerita selepas 30 tahun meninggalkan zaman persekolahan rendah.
Salah seorang penganjur acara, Dayang Ramlah berkata ‘reunion’ itu berjaya dianjurkan dengan adanya kecanggihan terkini seperti kemudahan telefon pintar serta alat berteknologi tinggi lain menerusi laman media sosial dan pelbagai aplikasi Internet untuk menghubungi rakan-rakan sekolah yang sekian lama tidak ditemui dan kebaikan trend media itu diharapkan akan dapat menjalin ukhuwah antara satu sama lain.
