Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Revolusi AI dalam muzik perlu ketulusan, keizinan

    KUALA LUMPUR, 23 OKT – Ketika kecerdasan buatan (AI) mengubah landskap industri muzik, masa depan para artis perlu dilindungi berteraskan prinsip keizinan, ketelusan dan bayaran setimpal, agar mereka dapat bersama-sama menikmati gelombang inovasi bukan menjadi mangsanya.

    Pengarah dan pengasas studio digital kreatif Kopi Su Studio dan Koup Music, Kartini Ludwig berkata kerangka kerja yang adil dan beretika bagi penggunaan AI dalam muzik perlu berpaksikan prinsip keizinan.

    “Masa depan yang adil bagi saya ialah yang berpusatkan kerangka kerja berasaskan keizinan, membenarkan model ‘opt-in’ untuk pembangunan mereka dan model asas pada masa depan”.

    “Artis atau wakil mereka seharusnya berhak untuk menyatakan, saya memberi kebenaran untuk data saya digunakan dengan cara tertentu,” katanya kepada Bernama selepas berucap pada FrequenSEA: An ASEAN Music Conference di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Pengarah dan pengasas studio digital kreatif Kopi Su Studio dan Koup Music Kartini Ludwig menyampaikan ucapan di FrequenSEA: An ASEAN Music Conference. – BERNAMA

    Persidangan bertemakan Business, Trends and the Future of ASEAN Music itu diadakan sebagai sebahagian daripada Riuh x ASEAN 2025, anjuran Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia.

    Ludwig menekankan penyesuaian industri terhadap AI perlu berasaskan ketelusan dan imbuhan setimpal, memerlukan syarikat menyatakan secara jelas bahan yang digunakan untuk latihan dan cara data digunakan, sama seperti pendedahan dasar privasi atau penggunaan kuki.

    “Terdapat nuansa dalam industri muzik dan kreatif tentang sebab data dianggap sebagai satu bentuk harta intelek”.

    “Kita tidak boleh sewenang-wenangnya melombong atau mengumpul data tersebut untuk alat AI, kemudian terpaksa membeli semula daripada mereka,” katanya sambil menegaskan artis berhak mendapat kawalan dan menerima ganjaran yang adil bagi data kreatif mereka.

    Selain itu, beliau turut menekankan kawalan kreatif dan pembangunan secara kolaborasi perlu menjadi panduan teknologi muzik pada masa depan.

    “Dalam syarikat teknologi besar, ada satu falsafah untuk mereka bergerak pantas dan melanggar sempadan. Akan tetapi, saya berpendapat perlu ada cara baharu membangunkan teknologi yang menumpukan pada matlamat mampan jangka panjang yang memberi faedah lebih adil kepada semua orang,” katanya.

    GAMBAR BERNAMA

    Katanya lagi, “walaupun artis perlu mempelajari dan menggunakan AI untuk berinteraksi dengan peminat, menjadi tanggungjawab pengawal selia, syarikat teknologi dan label rakaman memastikan mereka tidak dipaksa bersaing dengan AI”.

    “Saya pernah berborak dengan beberapa orang artis yang mahu menggunakan alatan AI untuk menghasilkan muzik unik buat setiap peminat, sekali gus membolehkan peminat memiliki karya istimewa yang dicipta khusus untuk mereka,” katanya.

    Apabila ditanya sama ada teknologi AI berkemampuan menghayati kehalusan budaya dan emosi muzik ASEAN, beliau berkata teknologi itu masih jauh daripada keupayaan mencerminkan keaslian serantau.

    “Banyak model asas masih bias kepada data latihan berasaskan Barat dan sebagai contoh, model ACE Step dari China telah ditala khusus berdasarkan muzik genre rap China dan kini mampu menghasilkan output yang sangat baik”.

    “Negara-negara ASEAN seperti Malaysia atau Filipina juga boleh membangunkan model AI mereka sendiri bagi merakam keunikan genre dan bahasa tempatan,” ujarnya.

    Beliau turut menambah, pembangunan model AI yang disesuaikan dengan lokal dapat membantu memelihara identiti budaya ASEAN dalam era AI generatif.

    Sebagai seorang usahawan kreatif, Ludwig berkata menyeimbangkan inovasi dengan etika masih menjadi satu cabaran, sambil menegaskan bahawa beliau kekal berpegang pada prinsip dan hanya bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai sama seperti FairlyTrained.org, Beethoven dan Stability AI. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda