Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Revolusi AI kini berdepan masalah kuasa

    SAN FRANCISCO, 11 NOV – Dalam perebutan dominasi AI, syarikat gergasi teknologi dari Amerika mempunyai wang dan cip, tetapi cita-cita mereka kini hadapi halangan terbaharu: kuasa elektrik.

    “Isu terbesar yang kita hadapi sekarang bukanlah lebihan komputer, tetapi ia adalah kuasa,” Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, mengakui dalam podcast baru-baru ini bersama ketua OpenAI, Sam Altman.

    “Jadi jika awda tidak boleh selesaikannya, awda akan mempunyai banyak cip terbengkalai dalam inventori yang tidak boleh pasang,” tambah Nadella.

    Seperti kegilaan dotcom tahun 1990-an untuk membina infrastruktur internet, syarikat gergasi teknologi hari ini membelanjakan jumlah yang belum pernah terjadi sebelumnya untuk membina tulang belakang silikon revolusi dalam kecerdasan buatan (AI).

    Google, Microsoft, AWS (Amazon), dan Meta (Facebook) sedang menggunakan rizab tunai yang besar untuk membelanjakan kira-kira $400 bilion pada tahun 2025 malah lebih banyak lagi pada tahun 2026.

    Semua dana ini membantu mengurangkan satu kesesakan awal iaitu memperoleh berjuta-juta cip yang diperlukan untuk perlumbaan kuasa pengkomputeran, dan syarikat gergasi teknologi sedang cepatkan pengeluaran cip pemproses mereka dalam usaha mengejar peneraju global, Nvidia.

    Semua cip bakal dimasukkan ke dalam sistem komputer yang memenuhi pusat data besar-besaran  yang juga menggunakan sejumlah air yang banyak untuk penyejukan.

    Syarikat-syarikat teknologi utama di Silicon Valley yang juga dipanggil Hyperscaler dapat meramal halangan tenaga yang mendatang.

    Setahun yang lalu, penyedia utiliti utama Virginia, Dominion Energy, sudah mempunyai senarai pesanan pembelian pusat data sebanyak 40 gigawatt, bersamaan dengan output 40 reaktor nuklear.

    Kapasiti yang mesti digunakan di Virginia, hab pengkomputeran awan terbesar di dunia, telah meningkat kepada 47 gigawatt, syarikat itu mengumumkan baru-baru ini.

    Jika diramalkan pertumbuhan, ia boleh mewujudkan kekurangan 45 gigawatt menjelang 2028 bersamaan dengan penggunaan 33 juta isi rumah Amerika, menurut Morgan Stanley.

    Beberapa utiliti AS telah pun menangguhkan penutupan loji arang batu, walaupun arang batu merupakan sumber tenaga yang paling mencemarkan iklim.

    Dan gas asli, yang membekalkan kuasa kepada 40 peratus pusat data di seluruh dunia, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, sedang mendapat sambutan semula kerana ia boleh digunakan dengan cepat.

    Di negeri Georgia, AS, di mana pusat data semakin berkembang, satu utiliti telah meminta kebenaran untuk memasang 10 gigawatt penjana berkuasa gas.

    Sesetengah penyedia, serta syarikat permulaan Elon Musk, xAI, telah bergegas untuk membeli turbin terpakai dari luar negara untuk membina keupayaan dengan cepat. Malah usaha mengitar semula turbin pesawat semakin mendapat perhatian.

    “Ancaman sebenar sekarang bukanlah tahap perubahan iklim. Ia adalah hakikat bahawa kita boleh kehilangan perlumbaan senjata AI jika kita tidak mempunyai jumlah kuasa yang mencukupi,” hujah Setiausaha Dalam Negeri, Doug Burgum pada bulan Oktober.

    Beberapa syarikat teknologi meremehkan komitmen iklim mereka. Google, sebagai contoh, menjanjikan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2030 tetapi memadam ikrar itu daripada laman webnya pada bulan Jun.

    Sebaliknya banyak syarikat promosikan projek jangka panjang. Amazon sebagai contoh sedang perjuangkan kebangkitan semula penggunaan nuklear melalui Reaktor Modular Kecil (SMR), teknologi eksperimen yang masih dalam proses pembinaan yang lebih mudah dibina berbanding reaktor konvensional.

    Google merancang untuk memulakan semula reaktor nuklear di Iowa pada tahun 2029. Dan pentadbiran Trump mengumumkan pada akhir Oktober pelaburan AS$80 bilion untuk memulakan pembinaan sepuluh reaktor konvensional menjelang 2030.

    Hyperscaler juga banyak melabur dalam kuasa solar dan storan bateri, terutamanya di California dan Texas.

    Pengendali grid Texas merancang untuk menambah kira-kira 100 gigawatt kapasiti menjelang 2030 daripada teknologi ini sahaja.

    Elon Musk, melalui program Starlinknya, dan Google telah cadangkan untuk meletakkan cip di angkasa lepas dan dikuasakan oleh tenaga solar. Google merancang untuk menjalankan ujian yang sama pada tahun 2027. – AFP 

    Antara contoh reaktor nuklear. Revolusi AI hadapi masalah kuasa. – Gambar Getty Images
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda