Gambar AFP
LONDON – Sari sedang dicipta semula untuk zaman moden dalam ‘revolusi fesyen’ India, dengan kira-kira 60 contoh terkenal akan dipamerkan di pameran baharu di London.
Sepanjang dekad yang lalu, menurut kurator Priya Khanchandani, sari telah menyaksikan perubahan paling pesat dalam 5,000 tahun sejarahnya.
Daripada gaya sari yang dipakai oleh wanita muda dalam perjalanan ke tempat kerja di Delhi dan Mumbai kepada ciptaan menakjubkan yang merupakan sari pertama menghiasi Met Gala yang terkenal di New York, pameran London memberi tumpuan kepada kebangkitan sari dalam era moden.
Khanchandani berkata, dia mula menyedari revolusi fesyen sari itu pada 2015 apabila dia bertemu dengan beberapa pereka fesyen di Delhi yang sedang mengubah sari, secara tradisinya merupakan sehelai kain panjang yang tidak berjahit disarungkan pada badan.
“Saya melihat sari dihidupkan semula sebagai pakaian harian dengan cara yang amat bergaya. Ia dipakai oleh wanita yang lebih muda daripada yang saya tahu sebelum ini,” katanya kepada AFP sebelum pertunjukan, The Offbeat Sari, yang dibuka di Muzium Reka Bentuk baru-baru ini.
“Mereka selalunya terdiri daripada wanita intelektual, penulis dan artis… memakainya dengan cara yang tidak saya sangka,” katanya.
Setelah melihat sari sebelum ini sebagai pakaian yang dipakai untuk acara istimewa atau majlis perkahwinan, dia tiba-tiba mendapati sari sedang dicipta semula sebagai pakaian harian, malah digabungkan dengan kemeja-T dan kasut sneakers.
Kelahiran fahaman penggunaan besar-besaran dan media sosial di India digabungkan dengan ledakan kelas pertengahan bandar di negara itu telah mempercepatkan pembaharuan sari itu, kata Khanchandani.
“Pengaruh media digital yang mempunyai capaian yang sangat ketara di India, khususnya dalam kalangan golongan muda, membolehkan trend tersebar dan saya fikir membenarkan cara sari dipakai menjadi gerakan akar umbi,” tambahnya.
Hashtag popular yang telah menyaksikan pelbagai jenis imej dikongsi dalam talian termasuk #sarilove, #sarifashion, #designsarees dan #sareeindia.
Meskipun sejarah panjang sari itu, sari hanya dilihat pada acara tahunan Met Gala yang diraikan di New York pada tahun lalu.
Dipakai oleh ahli perniagaan wanita India dan sosialit Natasha Poonawalla, pakaian sedondon yang mengagumkan itu menampilkan sari emas rekaan Sabyasachi dengan bustier Schiaparelli emas.
Selain sari couture yang mewah, pereka fesyen di India juga telah mengembangkan ciptaan dengan bereksperimen dalam pelbagai cara.
Raj Kilt, oleh jenama Little Shilpa, digambarkan sebagai ‘separuh kilt, separuh sari’ dan mencerminkan pengalaman silang budaya pereka India, Shilpa Chavan yang belajar di Britain.
Beberapa pameran yang paling menarik perhatian dan inovatif termasuk sari yang dihiasi dengan labuci yang dipotong daripada imej X-ray lama daripada bahan buangan hospital dan satu lagi dalam denim lusuh.
Namun sementara potensi kemewahan dan kreativiti sari dipamerkan sepenuhnya dalam pameran, terdapat juga contoh bagaimana ia digunakan untuk menyatakan idea identiti dan tentangan.
Ratusan ahli Geng Gulabi, sebuah kumpulan yang ditubuhkan untuk memerangi keganasan rumah tangga, termasuk penderaan seksual dan perkahwinan kanak-kanak di luar bandar India, telah mengenakan sari merah jambu terang bersama tongkat buluh sebagai simbol pergerakan mereka.
Turut termasuk dalam pertunjukan itu ialah sari sutera ungu yang disulam labuci dan kristal jenama Papa Don’t Preach. – AFP