ALBLASSERDAM – Di sebuah taman kontena berhampiran pelabuhan Rotterdam yang luas, sebuah kren memasukkan bateri putih 30 tan ke dalam kapal pengangkut, cukup untuk menyediakan pengangkutan lapan jam sifar pelepasan.
Kapal itu, MS Den Bosch Max Groen, akan menggunakan laluan air antara pelabuhan Rotterdam dan Den Bosch menggunakan sistem perintis bateri boleh tukar, yang dianggap sebagai penggunaan komersial teknologi pertama di dunia.
Penganjur percaya ia boleh mengubah status quo sektor pengangkutan laluan air darat, sementara mengakui lebih banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikannya berdaya saing dari segi kos.
Sistem tersebut mudah dan cekap masa. Semasa kapal memunggah kargonya di salah satu daripada tiga lokasi strategik berhampiran Rotterdam, sebuah kren menukar bateri yang kehabisan kuasa dengan bateri yang dicas sepenuhnya.
“Pemilik kapal, atau penghantar, tidak membuang masa untuk mengecas,” kata Ketua Eksekutif Perkhidmatan Pelepasan Sifar (ZES), Michael Beemer, yang menyediakan bateri.



Bateri itu, yang dikenali sebagai Zespack (atau ‘enam pek’), mengambil masa kira-kira tiga jam untuk dicas dan hanya 15 minit untuk diangkut dengan kren ke dalam kapal, kata Beemer kepada AFP.
“Dengan sistem itu, tiada karbon monoksida (CO2), nitrogen atau zarah dilepaskan. Kira-kira 800 tan CO2 setahun dijimatkan hanya dengan kapal ini,” kata Ketua Eksekutif Inland Terminals Group (ITG), Eduard Backer.
ITG mempunyai 17 terminal yang menghubungkan lokasi utama di Belanda dan Belgium dengan pelabuhan laut Antwerp dan Rotterdam, mengendalikan satu juta kontena setahun.
Pada masa ini, terdapat kemudahan pertukaran bateri di tiga terminal ITG, tetapi Backer berkata sudah ada rancangan untuk membina tiga lagi, dengan rangkaian berkembang pesat.
“Saya mempunyai kepercayaan yang amat teguh terhadap pengangkutan laluan air. Kami perlu menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak kargo dari darat ke air,” kata Backer, 54.
Ia amat penting di Belanda, yang mempunyai salah satu kepadatan penduduk tertinggi di dunia dan jalan raya yang sangat sesak, terutamanya di sekitar Rotterdam.
UDARA DAN AIR BERSIH
Sesuai dengan sebuah negara yang dikenali di seluruh dunia dengan terusannya, Belanda merupakan peneraju Eropah berhubung penghantaran barang ke kawasan pedalaman.
Menurut data Kesatuan Eropah (EU), Belanda mengangkut 18.5 tan barang setiap penduduk melalui laluan penghantaran pedalaman pada tahun 2024, hampir 17 kali ganda purata EU.
Statistik Belanda mencatatkan peningkatan 1.5 peratus dalam jumlah barang yang dihantar melalui laluan air kawasan pedalaman pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Daripada kira-kira 10,000 kapal laluan air pedalaman di Eropah, kira-kira separuh belayar di bawah bendera Belanda, kata Beemer.
Peralihan daripada kapal berkuasa diesel kepada kapal pengangkut elektrik sifar pelepasan merupakan peralihan besar kepada persekitaran tempatan, beritahunya kepada AFP.
“Kami mempunyai udara dan air yang lebih bersih, jadi persekitaran hidup juga lebih bersih,” katanya, sambil menambah keadaan di atas kapal juga jelasnya lebih sihat.
“Matlamatnya adalah untuk mempunyai sekitar lapan hingga 10 lokasi yang beroperasi menjelang akhir tahun 2026,” katanya, dengan rancangan untuk mengembangkan kepada minimum 50 buah kapal menggunakan sistem bateri boleh tukar.
Bekas pengurus bank pelaburan itu sedang bercakap dengan bakal pelanggan, berharap dapat memujuk mereka untuk menjadi ‘pelopor’ dalam sektor tersebut dan terus mendahului peraturan alam sekitar yang lebih ketat yang akan mengehadkan lagi pelepasan.
“Awda akan bersedia untuk memulakan operasi dengan pantas apabila terdapat peraturan,” kata lelaki berusia 39 tahun itu.
Bateri dicas menggunakan elektrik hijau 100 peratus dan pengangkut membayar menggunakan sistem inovatif berdasarkan masa bateri berada di atas kapal dan tenaga yang digunakan.
Beemer mengakui teknologi itu masih perlu dikembangkan sebelum bersaing dengan kapal bahan api diesel tradisional dari segi kos.
“Kami memerlukan pasaran untuk menyesuaikan sistem ini supaya kami boleh meningkatkan lagi skala. Skala adalah kunci untuk mengurangkan kos dan menjadikannya lebih dipercayai untuk pemilik kapal,” katanya.
“Ia tidaklah jauh lebih mahal. Ia belum kompetitif lagi, tetapi ia akan menjadi lebih kompetitif,” tambahnya.
Projek perintis yang serupa telah dijalankan di Sungai Yangtze di China dan di Vietnam, tetapi Belanda berhasrat untuk menjadi peneraju dunia dalam teknologi itu, membina warisan kehidupan di laut yang kaya serta bekerja di atas air selama berabad-abad.
Beemer berkata ia bukan tentang persaingan global tetapi lebih kepada belajar dari negara lain. – AFP
