Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Revolusi hijau Taman Akouedo

    ABIDJAN – Di atas rumput segar dan infrastruktur serba baharu Taman Akouedo di Abidjan dahulunya terletak berjuta-juta tan sisa selama beberapa dekad yang menjejaskan kehidupan dan kesihatan penduduk tempatan.

    Mengubah tapak pelupusan sampah kepada ruang rekreasi, menukar sampah menjadi khazanah berlandskap, telah menjadi satu trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini dari New York hingga New Zealand.

    Abidjan, hab ekonomi yang sibuk di Ivory Coast, kini dengan pesat turut melakukan perkara yang sama.

    Bagi penduduk kejiranan di bahagian timur negara itu, meliputi kawasan pelupusan sampah yang dibuka pada 1965 dan ditutup pada 2018, adalah satu rahmat.

    Taman baharu itu meliputi kira-kira 100 hektar, sekali gus menyediakan ruang hijau yang jarang ditemui bagi bandar yang semakin pesat membangun dengan kira-kira enam juta penduduk.

    Pejalan kaki duduk di atas bangku di kawasan bekas tapak pelupusan sampah Akouedo yang kini telah dijadikan taman di Abidjan pada 1 Ogos. – AFP
    Seorang juru ukur bertugas di bekas tapak pelupusan sampah Akouedo yang kini telah dijadikan taman di Abidjan pada 5 Ogos. – AFP
    Gambar menunjukkan bekas tapak pelupusan sampah Akouedo yang kini telah dijadikan taman di Abidjan pada 1 Ogos. – AFP
    Gambar menunjukkan bekas tapak pelupusan sampah Akouedo yang kini telah dijadikan taman di Abidjan pada 1 Ogos. – AFP
    Pejalan kaki berjalan di taman di Abidjan pada 1 Ogos. – AFP

    Selepas lima tahun pembinaan, taman bandar itu sedia dibuka, walaupun tarikh rasmi masih belum disahkan.

    Perubahan radikal pemandangan adalah satu kebaikan kerana pembuangan sisa toksik berbahaya sebelum ini telah menjadi punca masalah kesihatan, alam sekitar dan keselamatan.

    SELESA UNTUK BERNAFAS

    “Kami sangat menderita,” kata Celestine Maile, yang tinggal di Akouedo selama lebih 30 tahun, kepada AFP.

    “Kini, keadaan lebih baik,” katanya sambil melihat sekeliling persekitaran yang berubah.

    “Dahulu, terdapat timbunan sampah dan di bawahnya, air mengalir ke mana-mana,” kenangnya kembali tentang keadaan suatu ketika dahulu.

    Di samping pendedahan kepada bau dan perosak, tapak pelupusan sampah itu merupakan masalah kesihatan awam yang utama menurut kajian 2019, dijalankan oleh saintis Ivory Coast mengenai risiko toksikologi kepada orang yang tinggal berdekatan.

    Pengarangnya mengesyorkan penutupan dan pemulihan segera tapak itu, dengan mengatakan orang yang tinggal di sekitar terdedah kepada keracunan daripada bahan pencemar, termasuk plumbum, merkuri dan kromium karsinogenik.

    Terdedah kepada pencemaran sedemikian juga membantu munculnya penyakit seperti malaria, gastroenteritis dan masalah pernafasan, kata para penyelidik.

    “Sampah itu menyebabkan penyakit,” tegas Maile, sambil menambah dia mengalami masalah mata yang dikaitkan dengan beberapa tahun tinggal berhampiran tempat pembuangan sampah.

    PEMBINAAN TAMAN

    “Tempat pembuangan sampah itu benar-benar terasa seperti tanah perkuburan,” kata Severin Alobo, yang mengetuai pejabat ketua tradisional daerah Akouedo.

    Bagi Alobo, pembinaan Taman Akouedo telah membawa kebaikan kepada kejiranan.

    “Nama Akouedo tidak lagi dikaitkan dengan tapak pelupusan sampah, tetapi dengan taman bandar yang indah,” kata Menteri Hidraulik, Sanitasi dan Kesihatan Ivory, Bouake Fofana.

    “Apa yang hilang telah banyak diperoleh semula,” tambahnya.

    Beliau juga berkata, sebanyak 750 pekerjaan langsung dan tidak langsung telah diwujudkan hasil daripada projek itu, yang turut merangkumi pasar, sekolah menengah dan pengubahsuaian dua kilometer dari jalan kejiranan.

    Dibiayai oleh kerajaan Ivory Coast sebanyak 124 bilion CFA franc (AS$221 juta, 189 juta euro), projek baik pulih itu juga mempunyai komponen alam sekitar.

    Sisa yang disimpan di bawah taman kini akan digunakan untuk sumber tenaga hasil sistem saliran dan tangkapan.

    Biogas dan cecair yang terhasil daripada tindak balas 53 juta tan sisa terkumpul dipindahkan ke loji untuk ditukar menjadi elektrik bagi membekalkan tenaga kepada taman dan sebahagian daripada grid negara.

    Taman itu juga mempunyai ‘Rumah Alam Sekitar,’ yang dikatakan oleh Fofana akan menganjurkan acara mengenai isu alam sekitar kontemporari.

    Para pengunjung akan dapat bersukan di taman itu, merangkumi gelanggang tenis dan dua buah padang bola sepak.

    Terdapat juga jambatan bagi pejalan kaki melalui hutan tropika embrio dan kebun sayur.

    Seperti kebanyakan bandar-bandar Afrika yang sedang pesat membangun bergelut dengan cabaran mengurus sisa, Abidjan telah menemui pengganti baharu yang lebih besar untuk tapak pelupusan sampah Akouedo.

    Satu-satunya tapak lama penyimpanan sisa di bandar itu telah digantikan dengan satu lagi tapak baharu dengan kapasiti penyimpanan empat kali lebih banyak di pinggir bandar Abidjan, Kossihouen. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda