Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Revolusi kenderaan hijau di Britain

    KERETA elektrik Nissan Leaf yang dipandu Rob Allpress, 30, laju meluncur menelusuri jalan di sebuah kejiranan di Somerset yang terletak di barat daya England.

    Semasa tajuk-tajuk berita utama dibacakan di saluran radio BBC, Allpress menguatkan stereo agar bunyi suara pembaca berita kedengaran lebih jelas.

    Bibirnya menguntum senyuman selepas mendengar berita larangan penjualan semua jenis kenderaan berkuasa petrol dan diesel oleh kerajaan Britain mulai tahun 2040.

    Menurutnya, rancangan tersebut akan membuatkan lebih ramai orang menyedari bahawa Britain semakin berdaya maju dan serius menangani krisis pencemaran udara negara tersebut.

    “Saya merasakan tahun 2040 agak terlalu jauh ke hadapan. Saya sanggup bertaruh bahawa kereta petrol yang terakhir akan dijual sekitar tahun 2035.

    Menurut laporan National Grid, permintaan kemuncak bagi kuasa elektrik akan mengalami pertambahan sebanyak 50 peratus iaitu peningkatan sekitar 30 gigawatt (GW) daripada 61GW.
    Menurut laporan National Grid, permintaan kemuncak bagi kuasa elektrik akan mengalami pertambahan sebanyak 50 peratus iaitu peningkatan sekitar 30 gigawatt (GW) daripada 61GW.

    “Kerajaan harus bersedia ke arah itu. Saya fikir mereka perlu menambah lebih banyak kemudahan mengecas kenderaan memandangkan ia agak terhad buat masa ini,” katanya seperti dipetik portal The Guardian.

    Baru-baru ini, kerajaan Britain mengumumkan untuk mengharamkan penjualan kereta menggunakan petrol dan diesel mulai tahun 2040 sebagai sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan kualiti udara di negara itu.

    Di bawah pelan tersebut, pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan levi kepada pemandu kenderaan jika kualiti udara tidak bertambah baik. Ia akan melibatkan pungutan levi ke atas pemilik kenderaan yang mempunyai kenderaan dengan pencemaran tinggi di jalan-jalan raya utama.

    Strategi baharu itu dilancarkan oleh Menteri Alam Sekitar, Michael Gove selepas kerajaan Britain kalah dalam kes pencemaran udara di Mahkamah Tinggi.

    Gas toksik

    Sehubungan itu, bermula tahun 2040, pemandu kenderaan di negara tersebut hanya dibenarkan membeli kereta elektrik sekali gus mengakhiri era 150 tahun penggunaan diesel dan petrol sebagai bahan bakar utama kenderaan.

    Sebagai permulaan, bermula tahun 2020, pihak majlis perbandaran dibenarkan mengenakan caj levi tambahan ke atas pemandu kenderaan diesel yang menggunakan 81 laluan paling tercemar di Britain jika tahap kualiti udara gagal menunjukkan sebarang perubahan. Selain itu, penggunaan kenderaan diesel mungkin diharamkan pada waktu puncak.

    “Pihak berkuasa itu bagaimanapun tidak dibenarkan melaksana sekatan di seluruh bandar sebaliknya hanya boleh mengambil tindakan ke atas 81 jalan paling tercemar di negara ini,” kata Gove seperti dipetik portal Mail Online.

    Berdasarkan statistik, tahap pencemaran sudah melepasi had yang dibenarkan undang-undang di hampir 90 peratus kawasan bandar di Britain sejak tahun 2010.

    Pencemaran gas nitrogen dioksida (NO2) daripada pelepasan asap kenderaan itu dianggarkan menyebabkan 23,500 kematian setiap tahun hingga masalah berkenaan diisytiharkan sebagai isu kecemasan kesihatan awam pada tahun lalu.

    Pertambahan kenderaan

    Hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan orang tua, kanak-kanak dan individu dengan masalah jantung serta paru-paru, selain golongan berpendapatan rendah berisiko tinggi menghidap penyakit berkaitan pencemaran udara seperti asma, strok, kanser dan penyakit jantung.

    Di bawah pelan itu juga, majlis pentadbiran tempatan digesa supaya mengurangkan pengeluaran NO2 kepada paras yang dibenarkan undang-undang negara.

    Pelan sama antara lain menyarankan pengenalan bas mesra alam, memprogramkan semula lampu isyarat, mengubah susun letak jalan raya dan menghapuskan bonggol jalan.

    Baru-baru ini, kerajaan Britain mengumumkan untuk mengharamkan penjualan kereta menggunakan petrol dan diesel mulai tahun 2040 sebagai sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan kualiti udara di negara itu.
    Baru-baru ini, kerajaan Britain mengumumkan untuk mengharamkan penjualan kereta menggunakan petrol dan diesel mulai tahun 2040 sebagai sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan kualiti udara di negara itu.
    Rancangan ini akan membuatkan lebih ramai orang menyedari bahawa Britain semakin berdaya maju dan serius menangani krisis pencemaran udara negara tersebut.
    Rancangan ini akan membuatkan lebih ramai orang menyedari bahawa Britain semakin berdaya maju dan serius menangani krisis pencemaran udara negara tersebut.

    Peruntukan tambahan sebanyak £255 juta akan diberikan kepada majlis pentadbiran tempatan untuk membantu melaksana pelan tersebut yang perlu disiapkan menjelang akhir tahun 2018.

    Jumlah kenderaan diesel di Britain menunjukkan peningkatan daripada 3.2 juta pada tahun 2000 kepada lebih 10 juta kenderaan hari ini selepas kerajaan Parti Buruh memotong duti bahan bakar kenderaan diesel dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida.

    Bagaimanapun, menurut laporan Quartz, enjin diesel melepaskan pencemaran 15 kali ganda daripada petrol dan memberikan kesan serius kepada kesihatan.

    Analisis Unit Kualiti Udara Bersama Britain menunjukkan lebih 4 peratus atau 81 daripada 1,800 jalan utama di Britain memiliki pencemaran udara terburuk.

    Daripada jumlah tersebut, sebanyak 48 batang jalan raya terletak di London, manakala selebihnya di lokasi lain termasuk Birmingham, Leeds, Nottingham, Manchester, Newcastle, Sheffield dan Cardiff.

    Selain Britain, kerajaan Perancis turut mengumumkan pengharaman penjualan kenderaan yang menggunakan kuasa petrol dan diesel menjelang tahun 2040. Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Alam Sekitar Perancis, Nicolas Hulat awal bulan ini untuk menjadi negara bebas karbon menjelang 2050.

    Belanda dan Norway sebelum ini pernah memaklumkan mahu mengharamkan kenderaan petrol dan diesel menjelang 2025, manakala Jerman dan India mengumumkan rancangan yang sama menjelang 2030.

    Strategi baharu itu mungkin akan memberikan tekanan kepada masyarakat umum untuk menyesuaikan diri dengan keadaan termasuklah isu harga kereta elektrik yang jauh lebih mahal dan kurang praktikal berbanding kereta biasa.

    Dominasi pasaran

    Setakat tahun 2016, hampir 2.7 juta kereta baharu didaftarkan di Britain menjadikan negara itu sebagai pasaran keenam terbesar untuk jualan kereta di seluruh dunia.

    Jualan kenderaan hibrid dan elektrik pula bertambah hampir 30 peratus sepanjang enam bulan pertama tahun ini sekali gus menjadikannya segmen paling pantas berkembang di pasaran. Meskipun demikian, ia hanya merangkumi lima peratus daripada keseluruhan kereta baharu yang didaftarkan di Britain.

    Perkara itu menimbulkan kebimbangan sama ada negara itu bersedia untuk mempunyai infrastruktur pengecasan mencukupi bagi kenderaan elektrik dan hibrid generasi baharu.

    Bagaimanapun, rata-rata pakar berpendapat, jualan kenderaan hijau mungkin akan terus berada pada trajektori pertumbuhan yang kukuh.

    Pensyarah strategi industri di Aston Business School, Prof. David Bailey berkata, usaha mengakhiri jualan kereta diesel dan petrol menjelang tahun 2040 adalah suatu langkah yang betul.

    “Pun begitu, ia agak kurang relevan kerana mahu atau tidak, kereta elektrik semakin mendominasi pasaran,” ujarnya.

    Selain itu, menurut laporan National Grid, permintaan kemuncak bagi kuasa elektrik akan mengalami pertambahan sebanyak 50 peratus iaitu peningkatan sekitar 30 gigawatt (GW) daripada 61GW.

    Pertambahan tenaga elektrik yang diperlukan itu bersamaan dengan hampir 10 kali ganda jumlah pengeluaran kuasa dari stesen janakuasa nuklear Hinckley Point C yang baru dibina di Somerset. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda