Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Revolusi mobiliti global

    MUNICH – Daripada kereta terbang kepada robot dan bas pandu sendiri, berikut ialah beberapa inovasi yang dilihat di pameran kereta Munich minggu ini, Pameran Motor Antarabangsa (IAA), salah satu yang terbesar di dunia.

    KERETA TERBANG

    Jenama China mempamerkan usaha mereka untuk mencipta kereta terbang, pesawat elektrik kecil yang dikuasakan oleh berbilang rotor yang direka untuk perjalanan singkat.

    “Kami mahu memberikan sayap kepada kereta,” kata Wang Tan, pengasas bersama unit aeronautik pembuat kereta Xpeng.

    Land Aircraft Carrier Xpeng, sebuah kenderaan elektrik (EV) yang terdiri daripada pesawat elektrik dua tempat duduk yang boleh dilipat, akan dikeluarkan secara besar-besaran pada tahun 2026 dan dijual di China pada harga kurang daripada 2 juta yuan (AS$281,000).

    Antara fungsinya termasuk misi menyelamat dari lokasi yang sukar diakses, seperti dalam kesesakan lalu lintas atau dari bangunan tinggi, kata Wang.

    Govy AirCab dipamerkan di IAA di Munich, selatan Jerman. – AFP
    Wolf etu, EV beroda dua dipamerkan di IAA pada 9 September di Munich, selatan Jerman. – AFP
    Gambar menunjukkan robot Iron dipamerkan di IAA pada 8 September di Munich, selatan Jerman. – AFP
    Gambar menunjukkan kereta konsep pengecasan tanpa wayar Porsche di dipamerkan di IAA di Munich, selatan Jerman. – AFP

    Unit kereta terbang GAC Govy pula mempamerkan AirCabnya, pesawat elektrik pandu sendiri dua tempat duduk dengan kelajuan tertinggi 120 kilometer sejam dan jarak sehingga 30 kilometer.

    “Ia lebih senyap daripada helikopter dan lebih memenuhi keperluan orang ramai,” kata jurucakap Govy, Li Shuhan. “Ia juga lebih murah,” tambahnya.

    Kira-kira 1,500 AirCabs telah ditempah pada harga 1.68 juta yuan setiap satu.

    ROBOT ANJING

    Dilitupi dengan bulu kuning dan dengan mata bulat besar serta lidah berwarna merah, anjing robotik Go2 kelihatan comel dan sedap dipeluk tetapi ia lebih daripada gimik semata-mata.

    “Untuk kerja berbahaya awda memerlukan robot,” kata Todd Zhang dari Eve Energy, syarikat China yang membuat bateri untuk Go2, dibina oleh satu lagi pereka China, Unitree Robotics.

    “Pada masa hadapan, kami akan menghantar anjing robotik dalam persekitaran berbahaya dan bukannya manusia,” ujarnya.

    Eve Energy juga membekal kepada pembuat kereta Jerman seperti BMW dan Porsche, yang menonjolkan pengaruh China dalam rantaian bekalan untuk EV.

    EV WOLF

    Tidak sabar-sabar menunjukkan bahawa orang Eropah juga boleh berinovasi, Wolfgang Podleiszek dari Austria sedang mengusahakan EV dua roda yang bergaya seperti mengendali motosikal dan memerlukan pemandu condong di selekoh.

    “Kami telah berusaha menghantar isyarat kepada Eropah, bahawa kami sekali lagi bercita-cita melakukan sesuatu yang baharu dan inovatif,” katanya.

    Podleiszek mengasaskan Wolf eMobility tahun lepas dan sedang memburu pelabur di pameran permotoran untuk membina prototaip.

    “Apabila orang boleh mengusahakannya dan melihat betapa ia menyeronokkan, saya fikir yang lain akan mengikutnya,” katanya.

    Tetapi syarikat kecilnya menjadi perhatian gergasi Jerman, Volkswagen, yang telah mengheret syarikat itu ke mahkamah atas alasan ‘Wolf’ dalam bahasa Jerman kedengaran serupa dengan kereta Golf Volkswagen.

    BAS PANDU SENDIRI

    Sementara itu, syarikat termasuk Holon Jerman dan Auve Tech Estonia mempamerkan bas pandu sendiri yang kecil, direka untuk laluan di mana bas yang lebih besar dengan pemandu mungkin terlalu mahal.

    Auve Tech mempunyai 25 kenderaan di jalan raya, 20 daripadanya di Jepun, kata pengasas bersama Johannes Mossov kepada AFP, dibantu oleh dorongan yang kuat daripada kerajaan di sana.

    “Ia logik kerana populasi yang semakin tua,” katanya. “Orang ramai memerlukan pengangkutan awam supaya lebih mudah diakses oleh mereka yang mungkin tidak mahu memandu kereta peribadi mereka atau berjalan kaki dalam jarak yang jauh.

    “Eropah juga dalam situasi sama dalam 10 hingga 15 tahun,” tambahnya.

    ROBOT MANUSIA

    Pembuat EV China, Xpeng mempamerkan robot manusia, digelar Iron, pada pameran itu.

    Lebih 30 Iron sedang menjalani latihan buat masa sekarang, kebanyakannya di barisan pengeluaran pembuat kereta, walaupun ada juga yang membantu dengan jualan di bilik pameran.

    “Kami berharap kami boleh membiarkan robot bekerja di barisan pengeluaran menjelang akhir tahun ini,” kata Ketua Robotik Xpeng, Shi Xiaoxin, kepada AFP.

    Dan menjelang akhir tahun depan, mereka berkemungkinan akan bertemu dan menyapa pelanggan, katanya.

    Iron dilatih menggunakan penderia gerakan yang dipakai oleh pekerja, mengumpulkan data mengenai pergerakan manusia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda