KEBANYAKAN generasi baharu fesyen semakin peka dan prihatin akan nasib bumi ini dan merancang untuk mencipta fesyen yang sangat berbeza daripada keluaran sebelumnya.
Baru-baru ini telah diadakan pertunjukan fesyen di Paris, Perancis dan apa yang menarik perhatian orang ramai adalah pertunjukan fesyen yang berkonsepkan Generasi Z dan Millennials di mana para pereka fesyen telah memasukkan elemen-elemen sisa buangan terhadap busana-busana mereka.
Pereka fesyen Marine Serre telah menampilkan busana makan malam yang diperbuat daripada bekas kain katil lama, sekali gus berperanan untuk memberi amaran terhadap fenomena perubahan iklim yang sedikit sebanyak memusnahkan tamadun seperti apa yang kita sedia maklum sebelum ini, kebanyakan busana fesyen diperbuat daripada bahan yang tidak dapat di kitar semula atau tidak dapat diproses kembali.
Pereka fesyen yang baharu sahaja berusia 27 tahun itu merupakan salah seorang pereka fesyen yang semakin dikenali di Perancis, menghasilkan pakaian dan aksesori wanita sporty dan menerima tempahan hebat dari orang ramai serta keuntungan yang berganda dalam masa setahun.
Bagi Serre yang telah memenangi hadiah LVMH pada tahun 2017, tidak mempunyai pilihan tetapi untuk terus berubah. “Ia adalah satu cabaran yang besar untuk mendirikan empayar jenama fesyen secara konsisten dan berterusan. Namun apokalisme boleh sahaja bertukar positif jika kita berusaha merangsang penciptaan busana, menggunakan cangkerang atau kelengkapan mesra alam yang tidak akan memberi kesan kepada bumi,” katanya kepada media AFP.


Konsep futuristik
Manakala bagi Ottolinger yang berpangkalan di Berlin berkongsi etos dan estetika yang sama. Mereka telah merubah pakaian yang sedia ada begitu juga stok pakaian yang berlebihan untuk dijadikan busana makan malam yang glamor dan menarik serta berkonsepkan ‘streetwear’.
“Terlalu banyak lebihan pakaian, kami tidak boleh membiarkan perkara ini berlanjutan,” kata Cosima Gadient di belakang pentas. “Begitu banyak reka bentuk fesyen di luar sana kerana mereka boleh melakukan apa sahaja,” kata pasangannya, Christa Bosch kepada media.
“Bagi melakukan sesuatu yang baharu, kami akan menggunakan lebihan pakaian dan mencipta satu rekaan yang baharu,” katanya ketika ditemui media di sekolah fesyen di Switzerland. “Kami telah melakukan kerja ini sejak dari kecil lagi. Anda mungkin sahaja mempunyai baju kemeja atau jaket kegemaran namun ia tidak digunakan lagi, lantas anda boleh koyakkannya dan mencipta sesuatu yang baharu lagi,” tambahnya.
Gabungan teknologi
“Anda mungkin sahaja menemui banyak perkara baharu yang menakjubkan sama ada dari segi lapisan atau jahitan sekali gus memberikan anda satu idea untuk membuat lebih banyak busana baharu,” katanya kepada media. “Anda sudah memiliki pelbagai karakter, pakaian hantu dan ia boleh direka menjadi sesuatu yang menguntungkan,” jelasnya.
Eliane Heutsch, pereka fesyen dari Switzerland mengikuti hala tuju yang sama namun dengan menggunakan teknologi sehingga mengadaptasikan teknik jahitan nenek moyang mereka ke dalam sistem teknologi sekali gus menghidupkan semula pakaian lama di bawah jenama Savoar Fernya.
Jenama ini ditubuhkan bagi membenteras pakaian-pakaian yang dibuang. Stella McCartney telah membina empayar fesyennya melalui pemikiran etika dan meningkatkan lagi penggunaan kain-kain kitar semula.
Seorang pereka dari British, Vivienne Westwood berkeinginan untuk pergi jauh, menggesa orang ramai untuk berhenti membeli pakaian yang dihasilkan secara konvensional sama sekali. Suaminya dari Austria, Andreas Krontaller juga seorang pereka fesyen mahu trend fesyen pada hari ini untuk diperiksa semula.
Menggunakan apa saja
“Saya suka membuat koleksi busana dengan banyak tetapi saya tidak fikir ia akan sesuai dengan zaman sekarang, kita sebenarnya tidak memerlukan barang ini,” kata Andreas kepada media. “Saya harus berfikir dua kali untuk membeli baju tentera dan meneliti akan keperluan. Jika saya sangat menyukainya dan kelihatan menarik, baharulah saya akan membeliknya,” jelasnya. “Bagi menggalakkan ‘sustainable’, saya menyarankan untuk memakai semula apa yang telah sedia ada seperti bahan-bahan yang tidak digunakan lagi atau produk sampingan di mana lazimnya ia akan dibuang,” tambahnya.
Kronthaler berkata bahawa dia sentiasa menggunakan kain yang berkualiti tinggi untuk menghasilkan busana yang bermutu dan dibuat di kilang-kilang terjamin.
“Bahan-bahan kitar semula tidak lama lagi akan menjadi produk yang memenuhi industri fesyen tetapi terlebih dahulu, biarlah kami menggunakannya dahulu,” kata Andreas.
Mementingkan bumi adalah misi utama yang perlu ditekankan kemudian diterapkan kepada generasi seterusnya sebagaimana yang dipertunjukkan di pentas pertunjukan fesyen di Paris baru-baru ini.
Pengguna dan pencipta perlu meningkatkan hubungan yang erat dengan pakaian yang digunakan, kata Emma Hedlund dan Saif Bakir, pasangan pereka fesyen dari Sweden yang sedang perjalanan untuk meraih Hadiah Woolmark Antarabangsa pada tahun ini.
Ini bermakna, mereka perlu mempelajari bagaimana untuk memahami ‘Kecantikan dan Daya Tarikan’ dalam pakaian yang usang dan sudah rosak, pasangan itu memberitahu media AFP.
“Oleh kerana kami tidak lagi mencipta pakaian dengan tangan kami, pakaian telah kehilangan nilai dan mudah sahaja digantikan,” kata Hedlund. “Tetapi kami semua mempunyai jaket kegemaran masing-masing dan merancang untuk memakainya dalam jangka waktu yang panjang,” jelasnya.
“Setiap kali anda terjumpa pakaian yang tidak lagi digunakan atau lebihan pakaian, koyak, jahit dan cipta sesuatu yang baharu,” tambahnya kepada media. – AFP