Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rewang masak lemang, mahu kembalikan tradisi riuh sekampung

    BATU PAHAT – Pelbagai cara dilakukan untuk menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri, namun bagi 30 anak muda di Taman Nira, di sini, aktiviti ‘rewang’ atau bergotong-royong menjadi pilihan mereka tahun ini.

    Bagi Taufiq Noor, 33, dia bersama rakan-rakannya yang terdiri daripada penduduk Taman Nira serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Taman Nira Ride Club, Pepludin Generation dan Pertubuhan Kebajikan Kenangan (PKK) mahu mengembalikan tradisi ‘riuh sekampung’ menjelang Aidilfitri.

    Dia berkata antara aktiviti yang dilaksanakan secara bersama ialah memasak lemang, yang dahulunya menjadi kebiasaan bagi masyarakat kampung secara berkumpulan setiap kali ingin menyambut Syawal.

    “Kita hidupkan kembali tradisi nenek moyang kita dengan bergotong-royong. Ia kali pertama dianjurkan dan kita cadang nak jadikan aktiviti tahunan.

    “Kali ini, kita masak 100 batang lemang yang kemudiannya akan diagih-agihkan. Ini bukan sahaja mampu merapatkan hubungan tetapi persiapan hari raya secara ‘Rahmah’ juga dapat diwujudkan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

    Bagi Pengerusi PKK Muhammad Nur Ridzuan Khairi Adzhar, 34, pihaknya berminat menyertai aktiviti itu kerana tertarik dengan konsep penduduk kawasan itu menyambut lebaran kali ini.

    Beliau berkata konsep bergotong-royong dan berjimat menyambut Hari Raya ini, mungkin terbawa-bawa oleh mereka setelah sebahagian penduduk di daerah itu terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini, sehingga mencetuskan idea berkenaan.

    “Saya turut serta dalam penyediaan lemang berkenaan bermula dengan mendapatkan buluh, mengisi beras dan memasaknya, semuanya dilakukan sendiri dan jauh jimatnya berbanding membeli lemang sendiri yang harganya kira-kira RM18 hingga RM25 untuk sebatang.

    “Lemang ini merupakan makanan tradisi turun-temurun dan saya berbangga kerana anak muda di sini mampu menyediakannya, sekali gus berharap ia dapat diteruskan serta tidak pupus ditelan zaman dengan wujudnya makanan moden pada Hari Raya,” katanya. – Bernama

    Penduduk Taman Nira mengambil pendekatan memasak lemang secara bergotong-royong bagi mengembalikan suasana ‘riuh sekampung’ apabila tibanya lebaran. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda