Pelakon Malaysia, Anzalna Nasir tidak bersetuju dengan pendapat segelintir individu yang menganggap ibu bapa tidak seharusnya memberikan kemewahan berlebihan kepada anak-anak mereka.
Kata Anzalna atau Nur Anzalna Md Nasir, 37, tidak salah sekiranya mahu memberikan terbaik kepada anak-anak dalam mewujudkan kebahagiaan dan mencipta memori bahagia bersama keluarga.
“Ada segelintir orang berkata kita tidak seharusnya manjakan anak-anak dengan pakaian mahal atau bawa ke tempat-tempat mewah.
“Kenapa tidak? Anak-anak kita berhak mendapatkan yang terbaik. Tidak ada salah memberikan mereka kegembiraan dan mencipta memori bahagia.
“Nikmat (rezeki) yang kita terima adalah untuk dikongsi bersama orang tersayang,” katanya menurut mStar.

Anzalna berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya hari ini.
Pelakon drama Adam Hawa itu sebelum itu mengucapkan selamat hari lahir buat anak-anaknya iaitu Eidress dan Emirhan yang menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan Mei.
Kongsi Anzalna, setiap tahun dia dan suami, Muhammad Hanif Zaki berusaha menunaikan permintaan Eidress dan Emirhan kerana menganggap punca rezeki keluarga mereka adalah daripada anak-anak.
“Setiap tahun, kami meraikan mereka (anak-anak) dengan sepenuh hati kerana mereka layak untuk menerima semua ini.
“Rezeki anak ini memang lain macam. Nikmat yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata tetapi hanya boleh dirasai dengan hati.
“Selagi ada rezeki, kami akan sentiasa memberikan terbaik untuk anak-anak tidak kira daripada mereka kecil hingga dewasa,” ujarnya.
Untuk rekod, Anzalna dan Hanif mendirikan rumah tangga pada 21 Februari 2016.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Eidrees, 6 dan Mohamad Emirhan yang kini berusia 3 tahun. – Agensi