IPOH – Berbekalkan ilmu mempelajari pembuatan tanjak atau tengkolok melalui bengkel khas pembuatan tanjak dari pelbagai negeri, seorang penyolek (pembuat) tanjak menjual ribuan aksesori tradisi itu dan memperoleh hasil lumayan.
Iskandar Zulkarnain Zaharin, 39, menceburi bidang pembuatan dan penjualan tanjak sejak 2018 selain menerima tempahan untuk perayaan dan perkahwinan.
Kedatangan bulan kebangsaan yang menyaksikan Malaysia menyambut hari kemerdekaan dan hari Malaysia, menjadikan rezeki bapa lapan anak ini berganda-ganda kerana permintaan terhadap Tanjak Merdeka akan meningkat dan beliau menyasarkan 2,000 tanjak bakal terjual.
Beliau menyasarkan jumlah itu mampu dijual pada tahun ini memandangkan permintaan yang tinggi daripada orang ramai yang lebih selesa memakai tanjak berbanding busana tradisi.
“Tahun lepas saya jual kira-kira 300 tanjak sahaja namun tahun ini sasarannya agak tinggi kerana telah ada tempahan yang diminta oleh pelanggan manakala lagi 1,000 tanjak perlu disediakan untuk dijual di aplikasi Facebook yang baru sahaja dimulakan,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini, baru-baru ini.
Iskandar Zulkarnain berkata beliau menerima tempahan Tanjak Merdeka dari agensi, jabatan mahupun syarikat yang akan terlibat untuk perbarisan atau sebagainya sepanjang bulan kebangsaan ini.
Beliau sebelum ini membuka reruai menjual Tanjak Merdeka sempena Majlis Bulan Pelancaran dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru pada 16 Julai lepas dan 100 tanjak telah habis dijual dalam masa tiga jam sahaja.
Menceritakan mengapa beliau memilih membuat tanjak sebagai perniagaan, Iskandar Zulkarnain berkata idea ini tercetus apabila beliau melihat tanjak sebagai identiti tradisi Melayu yang masih mendapat perhatian.
“Saya terinspirasi untuk memperkenalkan semula tradisi ini kepada orang ramai dan mahu tradisi ini diteruskan sampai bila-bila terutama kepada generasi muda,” katanya.
Katanya dengan bermodalkan RM70, beliau boleh mendapat pulangan lebih RM2,000 hasil jualan tanjak yang diusahakan bersama empat tenaga kerja.
“Saya lebih suka siapkan tanjak dalam jumlah yang banyak dan jual berbanding hanya membuatnya apabila mendapat tempahan.
“Selain menjualnya di Ipoh Night Market dan Pasaraya Greentown, saya membuka khemah menjual tanjak pada hari kemerdekaan,” katanya. – Bernama