Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rezeki, nikmat pemberian Allah SWT

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Kerisauan manusia tentang rezeki sering kali muncul dari ketidakpastian dan tekanan hidup, namun keyakinan bahawa rezeki datang dari Allah SWT dapat memberikan ketenangan.

    Dalam Islam, kita diajarkan untuk berusaha sebaik mungkin dan kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah.

    Itu menciptakan rasa tawakal, di mana kita percaya bahawa Allah telah mengatur rezeki untuk setiap makhlukNya. Dengan bersyukur dan berdoa, kita dapat lebih tenang menghadapi cabaran hidup.

    “Menerusi Al-Quran, Allah SWT dan Rasulullah SAW telah memberikan wasilah atau cara memperoleh rezeki. Di sebalik kepelbagaian wasilah itu, sumbernya tetap sama. Yakni, Allah SWT yang memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya. Kesemua pemberian dan nikmat itu berasal daripada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Memiliki segalanya.”

    Perkara berkenaan antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, dari Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung (Kg) Kulapis semasa dalam program Malam Munajat kali ke-155 anjuran KHEU, semalam.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bersama antara yang menyertai program berkenaan secara maya. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Program dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Acara semalam mengundang tetamu khas, Pengerusi Jawatankuasa Keugamaan Unified National Networks (UNN) Sdn Bhd, Pengiran Abdul Rahim bin Pengiran Haji Tuah, yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Kg Sungai Hanching.

    Turut mengimarahkan acara munajat malam tadi ialah pegawai dan kakitangan UNN; ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari Masjid Pehin Khatib Abdullah, Masjid Kg Sungai Hanching, Masjid Kg Telisai Tutong, Masjid Kg Limau Manis serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat yang berjumlah 67 buah dari seluruh negara. Juga hadir, warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

    Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Kg Telisai, Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Saipol bin Ismail.

    Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Penolong Pensyarah, Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, dari Masjid Kg Sungai Hanching.

    Selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Asmaul Husna beramai-ramai dipimpin oleh Pengiran Abdul Rahim bersama pegawai dan kakitangan UNN dari Masjid Kg Sungai Hanching.

    Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Rozaime bin Haji Bunal, dari Masjid Kg Limau Manis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda