Nama aku Faiz. Aku cuma peniaga kecil. Gerai burger aku letak di tepi simpang besar dekat taman perumahan. Setiap petang, dari jam 5 sampai tengah malam, aku akan buka payung buruk, pasang lampu, dan mula bakar daging satu-satu atas gril yang aku beli dengan duit simpanan terakhir aku.
Dulu aku kerja kilang. Tapi sejak pandemik, aku dibuang kerja. Bila simpanan makin susut, aku nekad buka gerai burger ini. Taklah besar mana, tapi cukup untuk buat aku rasa masih ada harapan.
Awalnya, alhamdulillah. Ada pelanggan tetap. Budak-budak sekolah, abang-abang GoMamam atau pemandu Dart, makcik-makcik dari taman sebelah. Aku kenal mereka, mereka kenal aku. Rasa macam satu keluarga.
Satu malam, ribut kuat. Aku tengah kemas gerai, angin datang tiba-tiba, payung terbalik, barang jatuh merata. Minyak panas tumpah atas tangan aku. Aku jerit, tapi tak ada siapa dengar. Sakitnya Tuhan saja tahu. Aku terpaksa tutup beberapa hari sebab tangan aku melecur teruk. Bila aku buka semula pelanggan dah makin kurang. Aku kalah dengan gerai-gerai baharu lebih besar dan lebih moden.

Tak lama lepas tu, datang pula penguatkuasa. Katanya, aku berniaga tanpa lesen. Aku merayu. Aku kata aku tengah usaha mohon, tengah kumpul duit. Tapi surat tetap keluar.
Denda $300. Untuk orang macam aku, $300 tu besar. Terlalu besar. Aku bayar sikit-sikit.
Malu, tapi terpaksa. Hari berganti hari aku rasa sudah putus asa dan mahu berhenti berniaga.
Aku tak tahu lagi apa nak buat untuk ubah kehidupan aku. Sekarang aku jalani hari-hari ku dengan penuh penderitaan. Pelanggan semakin berkurang dan modal berniaga aku juga hampir habis. Aku tau aku perlu kuat untuk teruskan hidup, tapi aku rasa rezeki aku di tempat lain.
Faiz
NASIHAT DANG MP –
Terima kasih Faiz kerana sudi menulis kepada Media Permata. Dang membaca kisah awda dengan penuh rasa sayu. Awda bukan sekadar peniaga tepi jalan, awda adalah lambang keberanian dan ketabahan. Apabila menghadapi kesukaran, awda tidak duduk dan sebaliknya bangkit, walaupun dengan hanya sebuah gerai kecil dan payung lusuh.
Kadang-kadang, hidup ini kejam kepada orang yang paling kuat. Tapi percayalah Faiz, setiap luka itu adalah bukti bahawa awda masih berjuang. Faiz bukanlah gagal, tetapi cuma diuji. Dan dalam ujian itulah, Tuhan mendidik jiwa kita supaya menjadi lebih kuat untuk menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan.
Dang tahu denda yang dikenakan itu berat, luka itu pedih, pelanggan makin kurang.
Semua itu sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja rasa ingin berputus asa. Tapi Faiz, harapan itu masih ada. Mungkin bukan di simpang yang sama, tapi di jalan yang lain.
Jangan takut untuk mencuba semula di tempat baharu, cara baharu dan ilmu serta pengalaman yang telah ada.
Dang harap Faiz berjaya mengorak langkah baharu dengan perniagaan yang lebih cemerlang hasil daripada pengalaman yang ada. Dengan mematuhi undang-undang dan urusan perniagaan yang lebih teratur dan jualan yang meningkat.
Dang doakan agar satu hari nanti, ramai pelanggan beratur panjang di gerai Faiz bukan kerana mahu makan burger saja, tapi kerana semangat orang yang gigih di sebaliknya.
Dan pada masa itu, kisah kejayaan Faiz turut memberi inspirasi kepada peniaga-peniaga lain. Teruskan usaha awda, Faiz!