Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Tradisi majlis rumah terbuka merupakan peluang yang amat baik bukan sahaja untuk sanak saudara untuk berkunjung tetapi memberikan peluang kepada rakan-rakan baharu serta lama untuk mengeratkan silaturahim dan persahabatan yang sedia terjalin.
Sehubungan dengan itu, Bank RHB mengadakan Majlis Resepsi Hari Raya Aidilfitri untuk rakan strategik, pegawai dan kakitangannya yang berlangsung di Damai Ballroom, Hotel Aman Hills.
Hadir mengalu-alukan para jemputan ialah Ketua Pegawai Eksekutif RHB, Haji Ishak bin Othman.
Menurutnya, majlis malam ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan sama-sama memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau juga berkata, pada tahun ini, Bank RHB turut menjemput dua persatuan bagi sama-sama meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, iaitu Persatuan Sindrom Down Brunei dan juga YASKA.
Persatuan-persatuan berkenaan telah bekerjasama bersama RHB selama dua tahun kebelakangan ini dan jemputan pada malam ini adalah sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat RHB.
Di majlis berkenaan, para jemputan dihiburkan dengan lagu-lagu raya dan dihidangkan dengan hidangan seperti sate, mi kari, kuih-muih, dan banyak lagi hidangan juadah Hari Raya.
Pada akhir majlis, ahli Persatuan Sindrom Down Brunei dan YASKA menerima sumbangan dari Bank RHB, yang disampaikan oleh Haji Ishak.
