Pendedahan demi pendedahan dibuat susulan penceraian pasangan pelakon Ria Ricis dan Teuku Ryan pada 3 Mei lalu.
Malah, satu per satu video ketika pasangan itu berumah tangga diselongkar warganet bagi mencari punca awal keretakan rumah tangga mereka.
Terbaharu, tular sebuah video memaparkan keluarga Ria dan keluarga Ryan dikatakan sedang berbuka puasa bersama.
Bagaimanapun, tindakan Ria meminta bapa mertuanya berpindah tempat duduk bagi memberi ruang kepada ibunya yang baru datang mengundang rasa kurang senang ramai.
“Ibu duduk sini, takhta tertinggi di keluarga Sulyanto,” katanya memetik laporan mStar.
Potongan klip tersebut menjadi bualan hangat warganet kerana mereka berpendapat Ria berkelakuan biadap terhadap keluarga mentuanya.
Ada juga pihak yang mendakwa Ria terlalu melebih-lebih keluarga sendiri sehingga menyinggung perasaan bekas suaminya.
“Ini keterlaluan. Adab mana adab? Memang dia ibu awak tetapi kenapa suruh bapa mertua awak pindah?
“Siap cakap takhta tertinggi adalah ibu awak lagi! Mentang-mentang lagi banyak duit, suka hati dia saja,” komen warganet. – Agensi