BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) kelmarin telah mengadakan aktiviti Riadah Amal PPPBD yang berlangsung di ibu pejabat persatuan berkenaan.
Aktiviti tersebut telah dihadiri oleh naib-naib yang di-pertua sepanjang hayat PPPBD, Datin Paduka Hajah Zaharah binti Haji Idris dan Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali serta Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani, diikuti dengan aktiviti senamrobik dan ahli-ahli kemudian akan berjalan kaki di kawasan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Acara Riadah Amal tahun ini turut diisi dengan pelbagai permainan dan aktiviti ringan dan santai.
Aktiviti amal merupakan salah satu acara yang diungkayahkan bersempena dengan cuti penggal persekolahan itu diadakan adalah untuk mempromosi amalan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal dan riadah bermanfaat seperti yang disarankan.
Selain itu, ia juga untuk mempamerkan kepelbagaian dalam aktiviti-aktiviti kepanduan persatuan dan meningkatkan serta mengukuhkan perasaan muhibah dan hubungan silaturahim di kalangan ahli persatuan.