Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Riadah berbasikal meriahkan sambutan Hari Keputeraan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Semangat perpaduan segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus menyerlah apabila peminat dan penggemar sukan berbasikal, berkumpul dari awal pagi lagi untuk sama-sama memanifestasikan rasa cinta kepada raja dan negara dengan menyertai Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2024.

    Cuaca pagi yang cerah bagai mengalu-alukan para peserta untuk sama-sama menyertai acara yang menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dengan hasrat membentuk budaya sukan serta memantapkan perpaduan menerusi penglibatan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan warganegara sihat.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan berangkat bercemar duli menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78 Tahun yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min.

    Keberangkatan Baginda serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bercemar duli menyertai Acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78 yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat menyertai acara Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. Turut hadir YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama orang ramai. Turut berangkat DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Perbarisan lalu daripada 78 orang pekayuh basikal yang berjaya mengelilingi 78 kilometer. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara peserta yang menyertai acara tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Acara juga disertai oleh menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.

    Acara meriah itu bermula dengan Baginda Sultan dijunjung bagi menandatangani baju kenangan sempena Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 serta berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan Presiden Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, Haji Harith bin Pehin Haji Abdul Aziz dan seterusnya berkenan dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama Jawatankuasa Riadah Berbasikal Keputeraan 2024.

    Upacara pelepasan riadah berbasikal dilancarkan sejurus air horn dibunyikan oleh penggiat seni tanah air, Awang Izzat Ramlee.

    Baginda Sultan berkenan untuk mendahului riadah berbasikal mengelilingi Bandar Seri Begawan sejauh 8 kilometer dan melintasi jalan-jalan utama antaranya Jalan Pretty, Jalan Elizabeth 2, Jalan Stoney, Jalan Haji Basir, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Perdana Menteri, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu daripada 78 orang pekayuh basikal yang terdiri daripada pekayuh basikal atlet negara dan kelab-kelab di bawah Persekutuan Basikal Brunei Darussalam, diketuai oleh atlet basikal kebangsaan, Pengiran Amar Suriani bin Pengiran Hashim yang berjaya mengelilingi 78 kilometer sejak berlepas pada pukul 6:30 pagi.

    Pelepasan acara berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    Baginda berserta kerabat diraja seterusnya berkenan menyaksikan Perlawanan Akhir Kejohanan Tarik Kalat Peringkat Kebangsaan Kategori C-Remaja U19 (500 kilogram terkumpul), Peringkat Se-Borneo Kategori Berat (680 kilogram terkumpul) dan Peringkat Kementerian-kementerian dan Duta-duta Kategori Berat (680 kilogram terkumpul) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-78.

    Baginda Sultan kemudiannya berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah bagi Peringkat Kebangsaan Kategori C-Remaja U19 (500 kilogram terkumpul), Peringkat Se-Borneo Kategori Berat (680 kilogram terkumpul) dan Peringkat Kementerian-kementerian dan Duta-duta Kategori Berat (680 kilogram terkumpul).

    Seterusnya, Baginda Sultan berserta kerabat diraja berkenan bercemar duli serta menerima junjung ziarah daripada pengunjung-pengunjung ke acara riadah berbasikal.

    Terdahulu, sebelum acara riadah berbasikal itu dimulakan, sembahyang Fardu Subuh berjemaah telah diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan diikuti dengan tazkirah subuh bertajuk, Raja dan Rakyat Tiada Tembok Pemisah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda