Oleh Nurdiyanah R. –
Riadah Berbasikal Keputeraan 2023 yang diadakan baru-baru ini bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-77 Tahun membuktikan bahawa ia bukan setakat aktiviti kesihatan, bahkan ia adalah sebagai satu platform yang dapat mewujudkan perpaduan bagi segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.
Betapa indahnya perpaduan yang sedemikian dapat diwujudkan di negara ini di samping dapat mengukir seribu satu kenangan yang cukup bermakna buat rakyat dan penduduk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bercemar duli mengetuai riadah dan berbasikal bersama lebih ribuan peserta di ibu negara, kelmarin.
Menariknya, peserta dalam aktiviti tersebut meliputi semua peringkat usia, dilaksanakan secara besar-besaran dan hal ini setentunya mencipta satu catatan sejarah tersendiri.
Apa yang pasti, jelas tergambar garis-garis senyuman manis di wajah Baginda Sultan ketika merakamkan setiap detik kenangan bersama rakyat dan penduduk di negara ini bagaikan tiada noktah. Baginda Sultan masih mampu mengukir senyuman dan tetap tenang malah gembira meskipun rakyat dan penduduk tercinta berpusu-pusu dan berebut-rebut ingin menghulurkan tangan bersalam dengan Baginda Sultan.
Sentiasa dekat di hati rakyat
Berkesempatan ditemui penulis sewaktu berakhirnya acara tersebut, sepasang suami isteri, Awang Wadi bin Haji Hidup dan Dayang Nordiyanah Kamaludin melahirkan perasaan penuh kesyukuran yang tidak terhingga dengan adanya peluang keemasan sama-sama menyertai dan menjayakan acara riadah berkenaan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat Baginda.
Mereka yang menetap di Penanjong Kem, Daerah Tutong turut berkongsi bahawa adanya himpunan sedemikian, ia jelas membuktikan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia merupakan raja berjiwa rakyat dan amat dekat di hati rakyat. Malah semangat perpaduan antara segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini juga turut dilihat begitu teruja untuk sama-sama mewujudkan warganegara sihat.
“Didoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat Baginda sentiasa berada dalam perlindungan dan keredaan Allah SWT, sihat walafiat, sejahtera, serta kekal karar memerintah negara dan semoga Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam keadaan aman damai, serta dilimpahi rahmat daripada Allah SWT,” ucapnya dengan penuh ketulusan.
Acara tahunan sering dinanti
Sementara itu dalam perkongsian seterusnya, pihak media juga tidak ketinggalan untuk menemu bual Awang Mohd Salihan bin Abdullah Likin yang pada ketika itu ditemani oleh salah seorang rakannya, Joeh bin Lubat, turut meluahkan perasaan sangat gembira yang tak terhingga dan seronok menyertai acara riadah berbasikal pada tahun ini.
Kongsinya, di samping dapat beriadah bersama, mereka juga berkesempatan bersua muka dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja.
Ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara raja tercinta bersama rakyat dan penduduknya dalam aktiviti berkenaan.
“Acara sebegini sangat bermanfaat kerana bukan sahaja bagi menjalani kehidupan secara sihat dengan berbasikal, malah dapat menjalin hubungan antara komuniti berbasikal yang lain di Brunei Darussalam,” tambahnya.
Awang Mohd Salihan juga berkongsi, acara sedemikian merupakan penglibatan tahunan mereka yang semestinya salah satu acara yang ditunggu-tunggu setiap tahun bagi sama-sama bersatu sebagai anak watan dalam memeriahkan lagi suasana Bandar Seri Begawan dan menjayakan acara riadah berbasikal tersebut.
Terus semai jiwa patriotisme
Sementara itu, salah sebuah keluarga Kampung Bebatik Kulapis turut tidak ketinggalan berada di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien seawal 6.30.
Salah seorang ahli keluarga berkenaan, Dayang Nur Fairuza Syahira binti Haji Marsidi mengutarakan pandangan peribadi dengan adanya acara riadah sedemikian sememangnya ia mampu mendidik jiwa dengan semangat patriotik dan taat setia kita kepada Baginda Sultan, pemimpin negara kita, terutamanya apabila kita membawa bersama anak-anak kecil agar mereka lebih merasai detik-detik penuh bersejarah berkenaan secara langsung.
“Inilah perkara yang perlu kita semai dalam perkembangan anak-anak sejak awal lagi agar mereka mampu memahami kesucian agama, bangsa dan negara dengan penuh aman dan damai,” ujarnya di akhir pertemuan bersama penulis.