Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Jawatankuasa Ad-Hoc Mantan Penuntut-penuntut Pusat Tingkatan Enam (PTE) Jalan Muara 1975-1978 telah menganjurkan Riadah Berjalan Kaki Sambil Beramal yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Penganjurannya merupakan sebagai usaha untuk menyahut inisiatif kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku Urus Setia bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza, 2023 dalam mengumpul sumbangan derma rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk didermakan kepada tabung berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran Kutipan Derma Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 ialah Penaung Bersama AJK Ad-Hoc Mantan Penuntut-penuntut PTE Jalan Muara 1975-1978, Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat yang juga merupakan Mantan Menteri Perhubungan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.
Pada majlis berkenaan, bacaan Surah Al-Fatihah, Selawat Tafrijiyyah dan Doa Selamat Umum dan Doa Khas bagi Rakyat Palestin di Gaza telah dipimpin oleh Pengiran Haji Yunos bin Pengiran Haji Mohd Salleh.
Pengerusi bersama acara berkenaan, Awang Ali bin Haji Ismail dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, mantan penuntut serta orang ramai yang sama-sama hadir untuk menyokong inisiatif mengutip derma bagi tabung berkenaan.
Majlis diteruskan dengan sesi memanaskan badan dan Acara Riadah Berjalan Kaki Sambil Beramal sejauh 1.2 kilometer yang meliputi persekitaran Taman Makhota Jubli Emas (BIBD CONNECT, BIBD Frame Brunei Darussalam) dan melalui perkarangan Masjid Omar Ali Saifuddien, yang diketuai oleh Dato Seri Setia Haji Mustappa.
Acara riadah berjalan kaki sambil beramal yang membawa tema Kita Prihatin Gaza, Palestin 2023, telah disertai oleh seramai kira-kira 150 orang peserta yang merangkumi mantan penuntut-penuntut PTE seluruh negara terdiri daripada PTE Jalan Muara, PTE Gadong – Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, PTE Lambak Kiri, PTE Meragang, PTE Sengkurong, PTE Tutong, PTE Belait dan Tingkatan Enam Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) serta penyertaan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Sejumlah $8,060 sumbangan derma prihatin daripada mantan penuntut PTE senegara Brunei Darussalam kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza, 2023 telah disampaikan oleh Dato Seri Setia Haji Mustappa kepada Pengiran Mohammad Amirrizal selaku wakil KKBS.
Kutipan wang terkumpul berkenaan adalah melalui dua kaedah iaitu sumbangan Mantan Penuntut Penuntut PTE Jalan Muara 1975-1978 melalui pemindahan secara dalam talian yang telah dilancarkan dari 6 hingga 28 Disember 2023 dengan jumlah kutipan terkumpul sebanyak $6,194.
Manakala itu, kaedah kedua adalah Acara Riadah Berjalan Kaki Sambil Beramal Kita Prihatin Gaza, Palestin 2023 yang berhasil mengumpul sejumlah $1,866.
Menurut Setiausaha Bersama Jawatankuasa Riadah Berjalan Kaki Sambil Beramal, Haji Jaafar bin Haji Ibrahim, acara santai itu bertujuan sebagai tanda solidariti kepada penderitaan dan kesengsaraan yang dihadapi dan ditanggung oleh rakyat Palestin di Gaza.