Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Bagi mengeratkan silaturahim sambil beriadah, Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Tutong telah mengadakan aktiviti sukan boling, baru-baru ini.
Hadir menyertai aktiviti berkenaan ialah Ketua Kampung Sengkarai Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Pengerusi IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong.
Semasa ditemui Media Permata, beliau menyatakan bahawa aktiviti sedemikian adalah sebagai salah satu usaha bagi mengeratkan lagi keakraban ahli-ahli dalam kumpulan dengan mengisi masa terluang dengan nilai-nilai positif sekali gus menyemai semangat berjuang dan bersatu padu dalam perlawanan persahabatan itu.
“Apa yang diharapkan, aktiviti seperti boling ini dapat dijadikan sebagai aktiviti bulanan. Selain itu, kumpulan kami juga sering melakukan aktiviti seperti berkayak, mendaki bukit, dan sebagainya ketika ada masa lapang untuk sama-sama merehatkan minda,” ujarnya lagi.
