Friday, February 21, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Riadah keluarga erat silaturahim

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 16 JUN – Kawasan Lagun Panaga, Perumahan Negara (PN) Kampung Panaga kelihatan meriah hari ini dengan kehadiran orang ramai berserta keluarga yang menyertai pelbagai permainan dan aktiviti yang diadakan semasa acara perhimpunan hujung minggu.

    Dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) PN Kampung Panaga acara itu memberi peluang kepada keluarga-keluarga meluangkan masa hujung minggu bersama-sama sebagai sebuah keluarga, di samping mempamerkan inisiatif dan usaha yang dilakukan untuk memajukan kampung dengan lebih jauh.

    Selain gerai jualan oleh peng-usaha tempatan dari perumahan berkenaan yang menjual pelbagai produk serta satu kampung satu produk (1K1P), beberapa permainan dan aktiviti turut diadakan.

    Ini termasuk persembahan tarik kalat yang diketuai oleh KB Bull Brothers dan Lobo Pullers, pertandingan boling padang tradisional oleh MPK PN Kampung Panaga, dan pameran bot kawalan jauh oleh Kelab Peminat RC Boat.

    Pada majlis tersebut, rombongan MPK Jerudong B yang diketuai oleh ketua kampung mereka yang baru dilantik, Awang Kamis bin Panjang turut melawat tempat tersebut.

    Ketua Kampung Panaga C, Awang Khairul Abidin bin Mohd Yassin dan Pemangku Ketua Kampung Panaga B, Awang Mohd Ariffin bin Abdullah telah mengalu-alukan kedatangan rombongan berkenaan.

    Turut hadir ialah Pemangku Penghulu Mukim Seria dan Ketua Kampung Lorong Tiga Selatan, Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim.

    Rombongan berpeluang mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif dan usaha yang dilakukan untuk membangunkan kawasan lagun berkenaan, serta pelbagai acara dan aktiviti yang dianjurkan oleh MPK itu.

    Dalam kesempatan itu, rombongan dan ahli-ahli MPK turut menanam anak pokok di lagun tersebut yang melambangkan keharmonian dan perpaduan kedua-dua MPK walaupun terletak berjauhan antara satu sama lain.

    MPK PN Kampung Panaga dan Kampung Jerudong B bergambar ramai semasa acara berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Persembahan tarik kalat antara yang diadakan semasa acara tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda