Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar telah menganjurkan Riadah Mahabbah KUPU SB yang berlangsung di Pantai Muara, kelmarin.
Riadah ini adalah bagi mewujudkan suasana harmoni dan mesra melalui aktiviti yang sihat dan bermakna.
Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi mewakili Ra’es KUPU SB.
Turut hadir, pegawai-pegawai eksekutif, pegawai-pegawai utama, pensyarah, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB yang mewakili empat buah rumah sukan iaitu Rumah Tabligh, Rumah Siddiq, Rumah Amanah dan Rumah Fathonah.


Riadah Mahabbah KUPU SB merupakan gabungan Majlis Sambutan Hari Guru dan Majlis Kemuncak Penutup Sukan Tahunan KUPU SB yang diadakan secara serentak bagi menghargai jasa serta pengorbanan para pendidik di samping meraikan semangat kesukanan dan kejayaan mahasiswa dan mahasiswi.
Penganjuran ini juga bertujuan memupuk semangat kekitaan, mengeratkan hubungan antara warga kolej universiti serta menambah kemeriahan suasana majlis.
Selain memberi peluang kepada seluruh warga KUPU SB menzahirkan rasa kegembiraan, memperkukuh kerjasama serta mempertingkatkan usaha melahirkan insan yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan jasmani.




Berkonsepkan sukaneka, acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan diikuti pelbagai aktiviti menarik antaranya ‘Perpisahan’, ‘Di Antara Retak dan Rasa’, ‘Angkat Cawan Jemuran’, ‘Kakimu Kakiku’, ‘Alunan Sandal’, ‘Musical Slippers’, ‘Kain dan Bayu’, ‘Seimbang’, ‘Garis Tengah’ dan ‘Titian Mahabbah’.
Kemuncak acara menyaksikan pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah bagi acara Sukaneka, Kem Terbaik dan Sukan Tahunan.
Rumah Tabligh dinobatkan sebagai Johan Sukaneka, diikuti Rumah Fathonah di tempat kedua dan Rumah Siddiq di tempat ketiga, manakala Kem Terbaik turut dimenangi oleh Rumah Siddiq.
Bagi Sukan Tahunan KUPU SB 2025, Rumah Fathonah berjaya merangkul gelaran Juara, diikuti Rumah Amanah di tempat kedua dan Rumah Siddiq di tempat ketiga.

