Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Dalam usaha untuk menyokong visi dan misi Kementerian Kesihatan iaitu bersama ke arah warga sihat dan memperkasa rakyat ke arah kehidupan sihat, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Subok mengadakan Sambutan Hari Raya Sekampung dengan acara riadah raya yang berlangsung di Taman Riadah Bukit Si Patir, Kampung Subok, hari ini.
Hadir untuk sama-sama menyertai dan menyempurnakan acara itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Subok, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.
Dalam kata alu-aluannya, Yang Berhormat Awang Lawi menyatakan bahawa sudah empat tahun kampung berkenaan tidak mengadakan sambutan Hari Raya sekampung setelah dunia dilanda penyakit COVID-19 dan pada tahun ini, mereka amat bersyukur kerana dapat menyambut Hari Raya bersama keluarga dan sahabat-handai dengan rasa gembira serta aman.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa mereka harus berwaspada dan sentiasa menjaga kesihatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.
Yang Berhormat Awang Lawi seterusnya menyatakan, sambutan pada tahun ini adalah sangat berbeza dari tahun-tahun yang sudah di mana ia disambut dengan acara riadah raya.
“Bukan saja kita menyambutnya dengan acara makan-makan tetapi kita adakan riadah naik bukit dan permainan.”
Ulasnya lagi, “Sambutan Hari Raya tahun ini berunsurkan penjagaan kesihatan setelah berpuasa selama sebulan penuh.”
Beliau juga menyatakan harapan supaya acara riadah berkenaan akan menjadi amalan seharian untuk menyokong dan mendukung hasrat Kementerian Kesihatan dalam memperkasa rakyat ke arah kehidupan sihat.
Yang Berhormat Awang Lawi turut berkata, “Di samping kita bergembira menyambut Hari Raya, kita perlu menyambutnya dengan ala kadar dan tidak membazir serta mengikut kemampuan. Janganlah kita menyambutnya sehingga menjadi beban kepada diri kita sendiri.”
Majlis diteruskan dengan sesi memanaskan badan sebelum Yang Berhormat Awang Lawi menyempurnakan dan mengetuai acara riadah mendaki bukit.
Selain daripada acara riadah, acara sambutan turut diserikan dengan aktiviti suk;an ria serta menikmati jamuan dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung dalam suasana perayaan yang penuh harmoni.