Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Walaupun bulan Syawal telah berakhir, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Farhat Abbas Sani dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Pakistan bersama keluarga dan warga Pakistan di negara ini telah menjemput anak-anak yatim dari Sekolah Menengah Berakas untuk meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di suruhanjaya tinggi berkenaan di Berakas.
Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud yang turut merasmikan pameran Share Pakistan.
Pameran berkenaan membantu rakyat Brunei dari semua lapisan masyarakat terutamanya kanak-kanak, termasuk kanak-kanak masyarakat Pakistan yang tinggal di negara ini, untuk mengenali Pakistan dengan lebih baik dan membantu dalam menghubungkan rakyat dari kedua-dua negara dan mempromosikan pertukaran perdagangan, pelancongan dan budaya antara Pakistan dan Brunei Darussalam.