JAKARTA, 27 APRIL – Wilayah Riau, Indonesia yang sering terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah dijangka dilanda musim kemarau antara Mei hingga Julai 2025, menurut pegawai agensi berkaitan.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) meramalkan musim kemarau yang kurang teruk berbanding fenomena El Nino pada 2015, 2019 dan 2023.
“Bagaimanapun, potensi berlakunya kebakaran hutan dan tanah tetap ada, mengambil kira pengalaman pada tahun-tahun sebelumnya dengan keadaan musim kemarau yang serupa,” kata Timbalan Ketua Klimatologi BMKG, Ardhasena Sopaheluwakan.
Riau, yang mengalami dua musim kemarau dan dua musim hujan setiap tahun mendapat manfaat daripada sinaran matahari dan taburan hujan yang banyak dan beliau menekankan perlunya mengoptimumkan keadaan itu untuk kesejahteraan masyarakat serta menyeru kepada peningkatan kesedaran dan kesiapsiagaan.
“Sinergi dan pengetahuan tentang iklim adalah penting supaya semua pihak, termasuk kerajaan tempatan, kekal berwaspada,” katanya dalam satu kenyataan.
BMKG turut memanfaatkan data iklim dalam sektor pertanian, termasuk padi, jagung dan kelapa sawit, serta membangunkan sistem amaran awal bagi wabak denggi dan menyokong projek penyelenggaraan infrastruktur.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Riau, Edi Afrizal memaklumkan sebanyak 42 titik panas dikesan setakat tahun ini, melibatkan pembakaran seluas 78.56 hektar, dengan semua kebakaran berjaya dipadamkan.
Kerajaan Riau menganjurkan Jambori Kebakaran Hutan dan Tanah pertama di Indonesia bagi meningkatkan koordinasi antara anggota bomba, agensi, polis, tentera, sukarelawan dan kumpulan komuniti baru-baru ini.
“Usaha pencegahan ini diharapkan dapat mengelakkan kesan buruk kebakaran, seperti jerebu yang menjejaskan kesihatan awam dan aktiviti harian,” kata Edi. – Bernama
