Wednesday, January 8, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan adakan protes di Montenegro

    MONTENEGRO, 6 JAN – Beberapa ribu orang berhimpun di Montenegro kelmarin, menuntut peletakan jawatan pegawai keselamatan tertinggi berikutan kejadian tembakan awal minggu ini yang mengorbankan 12 orang, termasuk dua kanak-kanak.

    Dengan laungan ‘Letak Jawatan’ dan ‘Pembunuh,’ penunjuk perasaan di hadapan bangunan Kementerian Dalam Negeri di ibu kota, Podgorica, mendesak Menteri Dalam Negeri Danilo Saranovic dan Timbalan Perdana Menteri untuk Keselamatan dan Pertahanan Aleksa Becic supaya berundur.

    Milo Perovic, daripada kumpulan pelajar yang turut menganjurkan perhimpunan itu, memberitahu orang ramai bahawa nyawa orang yang tidak bersalah telah terkorban semasa mereka memegang jawatan.

    “Awda gagal melindungi kami, jadi letak jawatan!” kata Perovic.

    Beberapa jam sebelum itu, ratusan orang mengadakan 12 minit keheningan untuk memperingati 12 mangsa dalam satu perhimpunan di Cetinje, ibu kota bersejarah Montenegro di mana kejadian tembakan berlaku pada Rabu lalu. Ia merupakan pembunuhan besar-besaran kedua di bandar itu dalam tempoh kurang tiga tahun.

    Ramai penduduk Cetinje dan rakyat Montenegro percaya pihak polis telah salah menguruskan situasi tersebut dan tidak melakukan cukup usaha untuk meningkatkan keselamatan sejak kejadian pembunuhan besar-besaran pertama pada Ogos 2022.

    Kejadian tembakan pada Rabu lalu berpunca daripada pergaduhan di sebuah bar. Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun pulang ke rumah untuk mengambil senapangnya sebelum kembali ke bar dan melepaskan tembakan. Dia membunuh empat orang di situ dan lapan lagi di lokasi lain sebelum membunuh dirinya sendiri. – AP

    Kanak-kanak menyalakan obor semasa protes menuntut peletakan jawatan pegawai keselamatan atas kejadian tembakan awal minggu ini di Cetinje, di luar Podogrica, Montenegro. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda