JOHANNESBURG, 25 OKT – Dianggarkan 7,000 anjing laut ditemui mati di sebuah kawasan koloni pembiakan di tengah Namibia, menurut saintis semalam.
Pakar konservasi daripada Konvervasi Lautan Namibia, Naude Dreyer, menyedari bangkai anjing laut terbabit bergelimpangan di pantai Pelican Point yang terletak berdekatan bandar Walvis Bay, September lalu.
Seterusnya dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini pula, beliau menemui sejumlah besar janin anjing laut di kawasan koloni terbabit, kata Dr Tess Gridley daripada Projek Dolfin Namibia ketika dihubungi AFP.
Anjing laut berkenaan lazimnya melahirkan anak dalam tempoh antara pertengahan November hingga pertengahan Disember.
Gridley menganggarkan antara 5,000 hingga 7,000 anjing laut betina mengalami keguguran, dengan banyak lagi masih belum ditemui.
Punca kematian besar-besaran itu belum dikenal pasti, namun saintis mengesyaki ia berkaitan pencemaran, jangkitan bakteria atau kekurangan zat makanan.
Gridley memaklumkan, sesetengah anjing laut betina yang mati itu kelihatan kurus dan mempunyai amat sedikit lemak. – AFP