PHNOM PENH, 13 OGOS – Beribu-ribu serpihan kelengkapan tentera yang tidak meletup tinggalan perang saudara Kemboja telah digali di dalam sebuah sekolah di timur laut negara itu, kata pihak berkuasa hari ini.
Berdekad-dekad selepas konflik dan pengeboman oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada 1960an, negara itu kekal menjadi antara tempat yang paling banyak dibom di dunia.
Pasukan penggali menemui lebih 2,000 buah bahan letupan, termasuk lebih 1,000 biji bom tangan M79, tertanam di sebuah sekolah tinggi di wilayah Kratie, kata Heng Ratana, ketua pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja.
Dia berkata kepada AFP, bahan letupan itu ditemui selepas pihak sekolah membersihkan kawasan untuk meluaskan kebun.
“Sekolah tersebut telah ditutup sementara,” kata Heng Ratana.
Imej menunjukkan beberapa jenis bahan letupan yang berkarat dan disusun.
“Para pelajar sangat bertuah. Bahan letupan ini mudah meledak sekiranya seseorang menggalinya,” katanya.
Kawasan itu merupakan tempat tentera semasa peperangan, katanya, dan operasi untuk membersihkan kawasan itu mungkin akan menemui lebih banyak bahan letupan.
Perang saudara Kemboja berlarutan sehingga 1975, dengan AS dan Utara dan Selatan Vietnam menyokong pelbagai pihak.
Pengeboman dan periuk api yang ditanam oleh AS telah memberi kesan tragik, dengan kira-kira 20,000 orang rakyat Kemboja terbunuh sepanjang empat dekad selepas terpijak periuk api atau bom.
Usaha membersihkan terus dijalankan, dengan pihak kerajaan berikrar untuk membersihkan kesemua periuk api dan kelengkapan tentera yang belum meletup menjelang 2025. – AFP