YANGON, 2 MEI – Ribuan penunjuk perasaan anti rampasan kuasa berarak di Myanmar dan menyeru ‘revolusi musim bunga’ ketika negara itu memasuki bulan keempat di bawah rejim ketenteraan.
Bandar, kawasan luar bandar, kawasan pergunungan terpencil bahkan wilayah sempadan yang dikuasai pemberontak Myanmar telah bergolak sejak tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.
Junta berhasrat menangkis perbezaan pendapat melalui tindakan keras dengan penangkapan besar-besaran dan menyaksikan peningkatan jumlah kematian.
Tunjuk perasaan bermula di pusat perdagangan Yangon ketika aktivis meminta peserta menunjukkan kekuatan dan menyeru ‘revolusi musim bunga’.
Belia berkumpul di sudut jalan sebelum berbaris dengan cepat di jalanan, tetapi bersurai tidak lama kemudian untuk mengelak bertembung dengan pihak berkuasa.

“Untuk menjatuhkan kediktatoran tentera adalah tujuan kita!,” penunjuk perasaan melaungkan kata-kata terbabit serta melambai-lambaikan tabik tiga jari.
Di timur negeri Shan, belia membawa sepanduk yang berbunyi: “Kami tidak diperintah sama sekali.”
Media tempatan melaporkan pasukan keselamatan telah memburu para pembantah dan menangkap mereka.
“Mereka menangkap semua remaja yang mereka lihat,” kata sumber di Yangon memberitahu AFP, menambah yang dia bersembunyi pada ketika itu.
“Sekarang saya terperangkap.”
Letupan bom meledak di seluruh bahagian lain di Yangon hari ini. Letupan berlaku dengan frekuensi yang tinggi di bandar itu manakala pihak berkuasa menyalahkannya ke atas ‘pemulanya’.
Setakat ini, pasukan keselamatan telah membunuh 759 orang awam, menurut kumpulan pemantauan tempatan, Persatuan Bantuan bagi Banduan Politik. – AFP