JAKARTA, 2 NOV – Ribuan umat Islam di sini hari ini mengadakan demonstrasi membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron yang disifatkan mereka sebagai provokatif dan memfitnah agama Islam baru-baru ini.
Mereka berkumpul di sekitar kawasan luar Kedutaan Besar Perancis di Jalan MH Thamrin, Jakarta Pusat, di sini, tanpa menghiraukan kenyataan bahawa kota Jakarta masih mencatatkan kes pandemik COVID-19 yang tinggi.
Presiden Perancis berkenaan sebelum ini mendapat kecaman pelbagai pihak berikutan kenyataan yang dikeluarkan beliau susulan kejadian bunuh seorang guru yang dikatakan menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW dalam kelasnya semasa mengajar.
Pada 31 Oktober lepas, Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyatakan kecaman Indonesia, negara berpenduduk Islam terbesar di dunia itu terhadap kenyataan Presiden Macron yang disifatkan melukai perasaan umat Islam di seluruh dunia.
Menurut Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metrojaya (Polis Jakarta) Yusri Yunus, hampir 8,000 anggota polis ditugaskan bagi mengawal demonstrasi aman berkenaan, selain mengawal satu lagi demonstrasi aman oleh ribuan golongan pekerja yang membantah Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang berlangsung di kawasan Medan Merdeka dan Patung Kuda (Horse Statue) berhampiran Istana Negara.
Parlimen Indonesia meluluskan undang-undang berkenaan tenaga kerja itu pada 5 Okt lepas, namun dilaporkan masih belum ditandatangani Presiden Jokowi. Beberapa siri demonstrasi diadakan sejak kebelakangan ini di Jakarta dan kota-kota lain di Indonesia yang membantah undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja itu, mencetuskan kebimbangan berlakunya kluster demonstrasi ketika Indonesia masih mencatatkan kes harian COVID-19 melebihi 2,500 kes baharu setiap hari sejak Ogos lepas.
Menurut data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia, hari ini 2,618 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 415,402 kes. – Bernama
