PARIS, 29 NOV – Keganasan meletus di Paris kelmarin, apabila puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalanan untuk membantah undang-undang keselamatan baharu.
Keadaan semakin tegang selepas polis bertindak memukul dan menghina seorang lelaki berkulit hitam semasa protes tersebut.
Beberapa kebakaran turut berlaku di Paris, berikutan penunjuk perasaan melepaskan kemarahan mereka yang mendakwa undang-undang keselamatan baharu itu turut memperuntukkan peraturan menyekat wajah pegawai polis daripada didedahkan.
Kementerian Dalam Negeri mendakwa, kira-kira 46,000 orang berarak di Paris dan 133,000 orang di seluruh negara. Penganjur protes pula mendakwa sekitar 500,000 orang menyertai tunjuk perasaan di seluruh Perancis termasuk 200,000 orang di ibu negara.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata penyebaran beberapa gambar penerbit muzik berkulit hitam, Michel Zecler yang dipukul pegawai polis di Paris pada hujung minggu lalu adalah tindakan ‘memalukan’.
Insiden itu meningkatkan kebimbangan mengenai dakwaan berlaku diskriminasi kaum dalam kalangan pasukan polis.
“Sudah lama kami menjadi mangsa perkauman yang dilakukan polis. Tetapi sekarang kami merasakan seluruh Perancis mula bangkit,” kata Mohamed Magassa, 35.
“Kebebasan dan demokrasi yang menjadi punca kita diserang termasuk sekatan kebebasan bersuara dan maklumat,” kata seorang peguam, Sophie Misiraca, 46.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin mengecam kekerasan polis sebagai tindakan yang tidak boleh diterima. Katanya, 37 anggota pasukan keselamatan cedera di seluruh negara dalam tunjuk perasaan itu. – AFP
