MADRID, 16 JULAI – Kebakaran hutan di pulau La Palma, Sepanyol telah memusnahkan kira-kira 4,500 hektar tanah, memaksa ribuan penduduk untuk berpindah, menurut kenyataan perkhidmatan kecemasan tempatan kelmarin.
Kebakaran, yang berlaku awal pagi kelmarin, memusnahkan kawasan berhampiran perbandaran Puntagorda di wilayah barat laut Kepulauan Canary, di mana kediaman dan ladang terletak di tengah-tengah pokok pain, semak belukar, tanaman.
Presiden Kepulauan Canary, Fernando Clavijo berkata bahawa lebih 2,000 orang telah dipindahkan sehingga malam dan angin dengan kelajuan melebih 60kmsj dijangka akan memarakkan kebakaran.
Kerajaan wilayah Kepulauan Canary telah melaksanakan Pelan Kecemasan Perlindungan Awam untuk Kebakaran Hutan, tetapi api merebak dengan pantas. Datuk bandar Puntagorda, Vincente Rodriguez berkata, “Keadaan akan menjadi sangat rumit.”
Menurut laporan media tempatan, pasukan bomba kepulauan itu ketika ini berusaha memadam kebakaran, dengan bantuan pesawat termasuk helikopter. Lebih ramai anggota bomba dikerahkan ke pulau berhampiran Tenerife.
Anggota Unit Kecemasan Tentera Sepanyol juga dijangka akan tiba tidak lama lagi.- Xinhua
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/AP23196655179698-1024x683.jpg)