OTTAWA, 29 MEI – Lebih 17,000 penduduk di wilayah barat Manitoba, Kanada sedang dipindahkan pada hari Rabu apabila kawasan itu mengalami permulaan musim kebakaran hutan paling buruk dalam beberapa tahun.
“Kerajaan Manitoba telah mengisytiharkan darurat di seluruh wilayah berikutan situasi kebakaran hutan,” kata Perdana Menteri Manitoba, Wab Kinew dalam satu sidang media.
Tambahanya,”Ini merupakan pemindahan terbesar yang pernah disaksikan oleh Manitoba dalam ingatan hidup kebanyakan orang.”
Menurut Kinew, beliau telah meminta Perdana Menteri Mark Carney menghantar tentera Kanada untuk membantu dalam pemindahan dan pemadaman kebakaran.
Pesawat tentera akan dikerahkan ‘dalam masa terdekat’ bagi membantu memindahkan penduduk dari komuniti terpencil di utara yang terancam ke tempat selamat, bersama tambahan sumber bomba.
Pemindahan turut melibatkan bandar Flin Flon, di mana 5,000 penduduk telah diarahkan untuk bersiap sedia meninggalkan kawasan tersebut serta-merta apabila kebakaran besar menghampiri bandar perlombongan itu, yang dinamakan sempena watak fiksyen dalam novel tahun 1905.
Penduduk di beberapa bandar terpencil dan komuniti Orang Asli lain juga telah diarahkan keluar.
Kebanyakan mereka akan dipindahkan ke ibu negeri Manitoba, Winnipeg.
Setakat ini, sebanyak 22 kebakaran aktif dilaporkan di wilayah tersebut.
Hampir 200,000 hektar hutan telah hangus dalam tempoh sebulan lalu, tiga kali ganda purata tahunan lima tahun kebelakangan ini, menurut Kirstin Hayward dari perkhidmatan kebakaran hutan Manitoba.
Perubahan iklim telah meningkatkan kesan kejadian cuaca ekstrem di Kanada.
Kira-kira 1,000 penduduk Lynn Lake dan Marcel Colomb First Nation di Manitoba, serta 4,000 penduduk dari perkampungan utara Pelican Narrows dan komuniti lain di wilayah jiran Saskatchewan telah dipindahkan lebih awal minggu ini.
Ketika ini terdapat 134 kebakaran aktif di seluruh Kanada, termasuk di British Columbia, Alberta, Saskatchewan, Manitoba dan Ontario. Separuh daripadanya dianggap di luar kawalan. – AFP
