SYDNEY, 28 JAN – Anggota bomba kini bertungkus-lumus mengawal beberapa kebakaran yang pantas merebak sehingga memusnahkan ribuan hektar taman negara di tenggara Australia, manakala sebuah komuniti pertanian terpaksa dipindahkan.
Kebakaran tercetus akibat panahan petir kelmarin malam di Taman Negara Grampians, kawasan pergunungan berhutan kira-kira 300 kilometer ke barat Melbourne, ibu negeri Victoria.
Di lokasi lain, kebakaran di Taman Negara Little Desert di barat negeri itu telah terbakar hampir 65,000 hektar dalam tempoh kurang 24 jam, menurut pihak perkhidmatan kecemasan. Kawasan itu hampir seluas negara Singapura. Kebakaran tersebut memaksa penduduk luar bandar di Dimboola dipindahkan sebelum tahap ancaman diturunkan pada petang tadi.
“Saya amat bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban dan tiada laporan kecederaan,” kata Pesuruhjaya Pengurusan Kecemasan, Rick Nugent kepada pemberita.
Chris Hardman daripada Pengurusan Kebakaran Hutan Victoria, memberi amaran bahawa keadaan cuaca dalam beberapa hari akan datang meningkatkan risiko kebakaran merebak lebih jauh.
“Ketika ini, pasukan bomba merancang untuk melakukan segala yang mampu demi melindungi masyarakat,” katanya.
Pakar ramalan cuaca dari Biro Meteorologi, Kevin Parkyn, menjangkakan keadaan gelombang haba akan melanda beberapa kawasan di Victoria pada Sabtu, meningkatkan lagi risiko kebakaran.
“Ketika kami melihat ramalan tujuh hingga 10 hari akan datang, mesej utamanya ialah akan ada kubah panas di Victoria.
“Sebaik memasuki hujung minggu, jangan terkejut jika kita menyaksikan gelombang haba melanda seluruh negeri dan keadaan ini terus memuncak pada minggu depan.
“Landskap sudah kering dan jika keadaan panas ini berterusan, ia akan mengeringkan lagi kawasan tersebut.”
Kajian mendapati suhu yang lebih panas telah memburukkan lagi bencana alam di Australia. – AFP