HANOI, 25 JULAI – Ribuan penyokong berpakaian serba hitam, termasuk pegawai tinggi Vietnam, berkumpul di Hanoi hari ini bagi upacara pengebumian pemimpin Parti Komunis, Nguyen Phu Trong sekali gus memulakan hari berkabung selama dua hari di negara itu.
Pemimpin berusia 80 tahun itu, yang meninggal dunia di sebuah hospital tentera di ibu negara Hanoi minggu lalu kerana usia tua dan penyakit serius, merupakan pemimpin paling berkuasa yang pernah dilihat oleh negara itu dalam beberapa dekad.
Trong, yang memimpin parti sejak 2011, adalah pemimpin pertama yang memegang tiga mandat berturut-turut dalam jawatan tersebut selepas liberalisasi ekonomi negara pada 1986.
Beliau terkenal dengan kempen anti-rasuah berprofil tinggi yang membelenggu parti, polis, angkatan bersenjata dan perniagaan, yang menurut penganalisis, dikaitkan dengan perebutan kuasa politik.
Di samping jambangan bunga kuning dan kemenyan yang dibakar, keranda Trong yang dibalut bendera diletakkan di bawah potret besar pemimpin berkenaan dan puluhan pingatnya di Rumah Pengebumian Nasional di tengah Hanoi.
Dengan memakai ikat kepala hitam dan putih, keluarga Trong menyambut pengunjung yang berkabung, sambil meminta tiada sampul wang atau bunga dibawa ke pengebumian tersebut.
Semua bendera di seluruh negara itu dikibarkan separuh tiang, manakala acara hiburan dan sukan ditangguhkan sepanjang tempoh berkabung.
Upacara peringatan yang lebih kecil juga bermula pagi tadi untuk Trong di pusat perniagaan selatan, Ho Chi Minh City dan di kampung halamannya di daerah Dong Anh di pinggir Hanoi.
“Kematian setiausaha agung adalah kehilangan yang tidak dapat diganti bagi parti, negara, rakyat dan keluarganya,” kata ahli biro politik, Luong Cuong ketika upacara pengebumian bermula. – AFP
