Ribuan haiwan terancam diseludup

LYON, 10 JULAI – Polis di seluruh dunia telah merampas ribuan haiwan liar, termasuk primat dan kucing besar serta memberkas hampir 600 suspek dalam tindakan keras ke atas penyeludupan hidupan liar haram, kata Interpol hari ini.

Meliputi 109 buah negara, operasi itu dijalankan selaras dengan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO), bersama para penyiasat menyasarkan laluan penyeludupan dan kawasan jenayah, kata badan pengawasan antarabangsa.

Digelar Operasi Thunderball, siasatan berpangkalan di Singapura itu mencari sasaran rangkaian jenayah transnasional yang meraih keuntungan daripada kegiatan penyeludupan hidupan liar. Ia adalah misi Interpol kali ketiga dalam beberapa tahun kebelakangan.

Seorang jurucakap wanita Interpol berkata polis telah menahan 582 suspek dengan tangkapan dan pendakwaan selanjutnya akan menyusuli.

Antara haiwan yang dirampas itu adalah 23 primat, 30 kucing besar, lebih 4,300 burung, hampir 1,500 reptilia hidup dan kira-kira 10,000 kura-kura dan penyu, kata Interpol.

Mereka juga merampas 440 taring gajah dan 545kg gading, kata persatuan itu, menunjukkan perdagangan hidupan liar dalam talian yang semakin berleluasa.

Di Sepanyol, 21 orang telah ditangkap selepas siasatan online, dan di Itali, siasatan serupa telah membawa kepada rampasan 1,850 burung.

“Jenayah hidupan liar bukan saja memusnahkan alam sekitar menerusi sumbernya, namun ia juga memberi impak jenayah bersekutu, pembersihan wang dan penipuan,” kata setiausaha agung Interpol, Juergen Stock.

Interpol berkata penurunan ketara dalam rampasan spesies tertentu adalah tanda usaha penguatkuasaan berterusan yang membuahkan hasil dan tahap pematuhan yang semakin meningkat. – AFP