WASHINGTON, 11 JULAI – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan rancangan pengurangan kakitangan dalam ‘masa terdekat’, susulan keputusan Mahkamah Agung yang membuka jalan kepada pemecatan besar-besaran seperti yang dicadangkan oleh Presiden Donald Trump.
“Pada bulan Mei, Setiausaha telah meneliti dan meluluskan pelan yang dikemukakan oleh biro-biro, termasuk pengurangan kakitangan domestik secara menyeluruh,” kata Timbalan Setiausaha Negara bagi Pengurusan dan Sumber, Michael Rigas, dalam satu kenyataan.
“Jabatan akan memaklumkan kepada individu yang terlibat dalam pengurangan tenaga kerja dalam masa terdekat,” tambah Rigas.
Seorang pegawai kanan Jabatan Negara memaklumkan kepada media bahawa notis pemberhentian kerja akan dihantar melalui e-mel dalam tempoh sehari.
Pengumuman itu dibuat hanya dua hari selepas Mahkamah Agung membatalkan sekatan yang dikenakan oleh mahkamah rendah terhadap rancangan Trump untuk memberhentikan puluhan ribu penjawat awam persekutuan.
Walaupun Rigas tidak menjelaskan jumlah kakitangan yang akan terlibat, apabila ditanya sama ada angka itu hampir dengan 1,800 orang seperti yang dimaklumkan kepada Kongres awal tahun ini, pegawai kanan itu berkata, “Saya rasa angka itu hampir tepat.”
Pegawai itu turut memaklumkan bahawa hanya kakitangan yang berkhidmat di dalam negara akan terjejas dan tiada rancangan setakat ini untuk mengurangkan kakitangan luar negara.
Menurut lembaran fakta jabatan tersebut, lebih 80,000 kakitangan bekerja dengan Jabatan Negara di seluruh dunia tahun lalu, dengan kira-kira 17,700 daripadanya bertugas di dalam negara.
Pada akhir April lalu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengumumkan penstrukturan semula besar-besaran jabatan tersebut, termasuk rancangan untuk mengurangkan sehingga 15 peratus kakitangan, seperti yang dikongsikan dalam satu artikel di platform X. – AFP
