KABUL, 16 APRIL – Di sebuah pusat rawatan malnutrisi di ibu negara Afghanistan, tangisan kanak-kanak kini berganti dengan suasana sepi, selepas pesakit tidak dibenarkan mendapatkan rawatan dan kakitangan perubatan diberhentikan disebabkan pemotongan bantuan Amerika Syarikat (AS).
Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Washington itu terpaksa ditutup selepas AS – yang sebelum ini merupakan penyumbang bantuan terbesar kepada Afghanistan – membekukan semua bantuan asing.
“Ramai kanak-kanak yang sepatutnya datang ke pusat ini kini tidak dapat dirawat,” kata Cobi Rietveld, pengarah negara bagi pertubuhan bukan kerajaan Action Against Hunger (ACF), yang mengendalikan klinik tersebut di barat Kabul.
“Jika mereka tidak mendapat rawatan, risiko kematian sangat tinggi,” katanya kepada AFP.
Tanpa dana baharu, mainan, botol susu dan barang-barang lain terpaksa disimpan, manakala farmasi klinik dikunci sebaik sahaja pesakit terakhir keluar pada bulan Mac lalu.

“Apabila pesakit malnutrisi datang ke klinik, amat sukar bagi kakitangan kami untuk memberitahu bahawa mereka perlu pergi ke tempat lain bagi mendapatkan rawatan,” kata Ketua Doktor, Farid Ahmad Barakzai.
Selepas empat dekad peperangan dan krisis, Afghanistan kini menghadapi krisis kemanusiaan kedua terbesar di dunia, selepas Sudan, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Secara purata, 65 kanak-kanak mengalami malnutrisi akut teruk dengan komplikasi dirawat di klinik itu setiap bulan. Mereka akan tinggal beberapa hari bersama ibu mereka bukan sahaja untuk menerima pemakanan tetapi juga mengelak mereka dijangkiti penyakit.
“Setiap jangkitan yang boleh menyerang kanak-kanak biasa, pasti juga akan menyerang kanak-kanak malnutrisi dengan risiko kematian yang lebih tinggi,” jelas Rietveld.
Beliau menambah ia satu situasi yang ‘menyakitkan’ buat kakitangan, kerana di penghujung hari-hari terakhir mereka bekerja, mereka terpaksa menghantar pesakit ke tempat lain yang tidak mempunyai rawatan khusus seperti di klinik ini.
Malnutrisi kanak-kanak di Afghanistan – di mana 45 peratus daripada populasinya berumur di bawah 14 tahun – merupakan cabaran besar kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada keseluruhan generasi.
Kira-kira 3.5 juta kanak-kanak bawah lima tahun mengalami malnutrisi akut dan negara itu mencatat salah satu kadar tumbesaran bantut tertinggi di dunia, menurut PBB.
Golongan dewasa turut terjejas, 15 juta rakyat kini berdepan masalah kekurangan makanan, termasuk 3.1 juta yang berada di ambang kebuluran. – AFP