Wednesday, November 6, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan kanak-kanak di Gaza kekurangan zat makanan

    GENEVA, 13 JUN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan kelmarin bahawa lebih 8,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Gaza terpaksa dirawat akibat kekurangan zat makanan sejak tercetusnya perang, Oktober lalu.

    Ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 28 kanak-kanak maut akibat masalah berkenaan dengan sebahagian besar penduduk Gaza kini kebuluran.

    “Walaupun terdapat laporan peningkatan bantuan makanan, namun sehingga kini tiada bukti bahawa golongan yang paling memerlukan menerima kuantiti dan kualiti makanan yang mencukupi.

    “Lebih 8,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun dirawat untuk kekurangan zat makanan yang serius.

    “Malah kira-kira 1,600 daripada mereka mengalami kekurangan zat makanan yang boleh membawa maut,” katanya pada sidang media.

    Ghassan al-Qishawi, seorang kanak-kanak Palestin berusia empat tahun menghidap kelumpuhan otak dan kekurangan zat makanan di pusat perlindungan sekolah UNRWA pada 10 Jun. – AFP

    Pada masa sama, Tedros berkata, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsinya berusaha meningkatkan penghantaran makanan di wilayah Palestin yang terkepung.

    Namun katanya, disebabkan rasa tidak selamat dan kekurangan akses, hanya dua pusat rawatan untuk pesakit kekurangan zat makanan yang serius boleh beroperasi pada masa ini.

    “Ketidakupayaan kami untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan dengan selamat, malah lebih teruk kekurangan air bersih dan sanitasi, menyebabkan risiko kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak meningkat.

    “Sehingga kini terdapat 32 kematian akibat kekurangan zat makanan, termasuk 28 dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun,” katanya.

    Tedros berkata, terdapat juga krisis kesihatan yang semakin meningkat di Tebing Barat, malah kekangan terhadap penjagaan kesihatan dan sekatan pergerakan, menghalang akses kepada perkhidmatan berkenaan.

    Katanya, sejak perang Gaza bermula, WHO merekodkan 480 serangan ke atas kemudahan dan kakitangan penjagaan kesihatan di Tebing Barat, sekali gus mengakibatkan 16 kematian dan 95 kecederaan di wilayah Palestin.

    “Di Tebing Barat, khususnya di Gaza, satu-satunya jalan penyelesaian ialah kedamaian. Ubat terbaik adalah kedamaian,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda