SYDNEY, 3 MAC – Beribu-ribu kuda liar ditakai di kawasan pergunungan timur Australia dalam usaha kontroversi untuk mengawal populasi haiwan itu demi melindungi alam sekitar, lapor Agensi Berita Jerman dpa memetik Australian Associated Press (AAP) hari ini.
Kuda liar yang dikenali sebagai ‘brumby’ menghuni Taman Negara Kosciuszko di Pergunungan Snowy, New South Wales (NSW) selama 200 tahun dan menjadi sebahagian daripada warisan budaya Australia yang diabadikan dalam puisi, lagu, novel serta filem.
Kerajaan NSW berhasrat mengurangkan populasi ‘brumby’ daripada anggaran 14,380 ekor kepada 3,000 ekor menjelang 2027 menerusi kaedah perangkap dan penempatan semula.
Sekiranya kaedah itu tidak berkesan, kaedah takai dari darat dan udara digunakan bagi ‘melindungi persekitaran semula jadi’ Taman Negara Kosciuszko.
Menteri Alam Sekitar NSW, Penny Sharpe hari ini mengumumkan bahawa kaedah menakai haiwan dari helikopter tidak lagi diperlukan kerana sasaran pengurangan populasi kepada sekitar 3,000 ekor telah dicapai, lapor AAP.
Sharpe memberitahu bahawa program perangkap dan penempatan semula akan diteruskan, manakala kawalan pembiakan sedang dikaji bagi mengelakkan kitaran lonjakan dan kemerosotan populasi.
Pencinta alam sekitar sebelum ini menegaskan bahawa kuda liar, yang bukan spesies asli Australia, merosakkan ekosistem pergunungan, memusnahkan kawasan tanah lembap dan mengancam spesies tempatan. – Bernama
