Ribuan lagi dipindah dalam kebakaran Greece

ATHENS, GREECE, 6 OGOS – Ribuan penduduk di Greece melarikan diri dari kebakaran hutan di utara Athens awal hari ini ketika anggota bomba melancarkan usaha semalaman untuk menghalang kebakaran daripada merebak ke kawasan berhuni dan tapak bersejarah.

Di pulau Evia, pengawal pantai Greece melancarkan operasi besar-besaran dengan bot peronda dan kapal untuk memindahkan ribuan penduduk dan pelancong ketika puluhan api merebak dan membakar di seluruh negara untuk hari ketiga di tengah gelombang haba yang teruk.

Salah satu kebakaran paling teruk melanda kawasan hutan 20 kilometer dari utara ibu negara, memusnahkan lebih banyak rumah. Beberapa ratus anggota bomba menggali parit dan memadamkan api.

Lalu lintas disekat di lebuh raya utama negara yang menghubungkan Athens ke utara Greece ketika kru cuba menggunakan jalan tersebut sebagai langkau api sebelum kapal terbang yang menggugurkan air meneruskan penerbangan pada awal pagi. Namun percikan dan kon pokok pain yang terbakar membawa api mmebakar ke seluruh lebuh raya di beberapa tempat.

Beberapa anggota bomba dan sukarelawan dimasukkan ke hospital dengan luka lecur, kata pegawai kesihatan. Menteri Kesihatan Vassilis Kikilias berkata sembilan orang telah dibawa ke hospital di Athens dari utara ibu negara Greece, tiga di antara mereka mengalami masalah pernafasan, sementara 11 yang lain dirawat di pusat kesihatan di Evia.

Lebih 100 anggota bomba, disertai tentera dan kumpulan sukarelawan, serta 10 kapal terbang dan helikopter sedang bergelut memadam kebakaran di seluruh negara, kata jabatan bomba. – AFP

Sebuah rumah terbakar semasa kebakaran hutan di kampung Afidnes, 31 kilometer dari utara Athens, Greece kelmarin. Ribuan penduduk telah melarikan diri daripada kebakaran hutan di Athens. – AP