Thursday, October 17, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan orang hadiri upacara pengebumian di selatan Bosnia

    JABLANICA, 16 OKT – Ribuan orang yang berkabung di selatan Bosnia berkumpul kelmarin di hadapan 19 keranda yang ditutupi dengan kain hijau, sebagai sebahagian daripada upacara pengebumian untuk mangsa yang terkorban dalam banjir dan tanah runtuh yang melanda negara itu pada awal Oktober.

    Hujan lebat dan berangin melanda empat wilayah di tengah dan selatan Bosnia 4 Oktober lalu, mengejutkan orang ramai. Keseluruhan kawasan terputus hubungan apabila banjir kilat menghanyutkan jalan dan jambatan, dan kira-kira 26 orang dilaporkan telah terkorban. Pihak berkuasa masih mencari mangsa yang hilang.

    Kesemua 19 mangsa berasal dari Donja Jablanica, sebuah perkampungan di luar bandar Jablanica di mana Mufti Besar Komuniti Islam Bosnia, Husein Kavazovic memimpin upacara itu.

    “Tiada perlu mengatakan apa-apa,” kata Kavazovic, sambil berucap kepada orang yang berkabung ketika mereka berdiri di luar Masjid Jablanica. “Walaupun kesedihan itu dalam dan tidak tertanggung, kita sedar bahawa Allah SWT yang menentukan kehidupan kita. Kita cuma manusia biasa.”

    Orang ramai hadir semasa upacara pengebumian mangsa banjir di Jablanica, Bosnia pada 15 Oktober. – AP

    Pengebumian akan diadakan secara berasingan setelah upacara berakhir.

    Orang ramai dari Donja Jablanica berkata mereka mendengar bunyi gemuruh sebelum timbunan batu, lumpur dan air turun ke kampung itu.

    Banyak rumah musnah sepenuhnya dan beberapa keluarga kehilangan sebahagian besar ahli mereka.

    Enes Dzino berkata sembilan ahli keluarga menantunya terkorban dalam banjir, kecuali seorang kanak-kanak yang kini sedang dirawat di hospital.

    “Ia sangat sukar untuk ditanggung,” katanya. “Mereka semua hilang dalam sekelip mata, seluruh keluarganya terbunuh.”

    Jiran Bosnia dan negara Kesatuan Eropah telah menghantar bantuan.

    Perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia meningkatkan intensiti hujan kerana udara yang lebih panas menampung lebih banyak kelembapan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda