RHODES, 24 JULAI – Pihak berkuasa Greece hari ini memindahkan hampir 2,500 orang dari Pulau Corfu ketika negara yang dilanda cuaca panas itu ‘berperang’ dengan beberapa kebakaran hutan.
Puluhan ribu orang telah melarikan diri daripada kebakaran di Pulau Rhodes, dengan kebanyakan pelancong yang ketakutan berebut-rebut untuk pulang ke negara masing-masing melalui penerbangan pemindahan.
Lebih kurang 2,400 pengunjung dan penduduk tempatan telah dipindahkan dari pulau pelancongan Ionia, Corfu sejak kelmarin, kata jurucakap bomba, sambil menambah bahawa langkah pemindahan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kita sedang berperang dan secara eksklusif menjurus ke arah bahagian depan api,” kata Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis kepada parlimen, memberi amaran bahawa negara itu menghadapi ‘tiga hari yang sukar lagi’ sebelum suhu tinggi diramalkan berkurang.
Greece sedang dilanda gelombang panas terik yang berpanjangan, meningkatkan risiko kebakaran hutan dan menyebabkan pengunjung terkandas pada kemuncak musim pelancongan.
Kelly Squirrel, seorang pentadbir pengangkutan dari United Kingdom, berkata polis telah mengarahkan orang ramai di hotelnya di Rhodes untuk berpindah.
“Kami terpaksa terus berjalan,” katanya kepada AFP di lapangan terbang antarabangsa.
“Jadi kami berjalan selama kira-kira enam jam dalam kepanasan.” – AFP
