BANDUNG, INDONESIA, 7 OKT – Ribuan pelajar dan pekerja Indonesia mengadakan bantahan hari ini ke atas undang-undang baharu yang mereka katakan akan melumpuhkan hak asasi buruh dan menjejaskan persekitaran, dengan beberapa daripadanya bertempur dengan polis. Seorang pelajar kelihatannya telah ditembak.
Pihak berkuasa di Bandung, bandar wilayah Barat Jawa, menyekat jalan menuju ke bangunan parlimen tempatan dan dewan bandar raya, di mana pertempuran antara pelajar-pelajar yang melontar batu dan polis rusuhan yang meletus kelmarin ketika polis cuba untuk menyuraikan para pembantah.
Hari ini, lebih 3,000 pembantah, termasuk para pekerja, pelajar universiti dan sekolah tinggi, mencuba untuk memasuki bangunan parlimen yang dikawal ketat.
Para pembantah membakar tayar dekat jalan disekat dan melontar polis dengan batu dan bom gasolin serta merosakkan pagar kawasan parlimen. Polis rusuhan membalas balik dengan menembak gas pemedih mata dan meriam air.
Bantahan kecil juga berlaku di bandar-bandar Indonesia, termasuk bandar satelit Tangerang dan Bekasi tempat terletaknya kilang-kilang besar dan di pulau-pulau Sumatera dan Sulawesi.
Bantahan di Bekasi bertukar ganas pada petangnya, dengan video yang diperolehi oleh The Associated Press menunjukkan pelajar tersembam tiga meter dari sekatan polis selepas tembakan senjata dilepaskan. Para pelajar lain membawanya lari dan keadaannya masih belum jelas. – AP