SYDNEY, 31 DIS – Beribu-ribu pelancong dan penduduk tempatan terpaksa bermalam di pantai di tenggara Australia hari ini selepas melarikan diri daripada kebakaran teruk yang melanda kawasan pelancong popular dan memutuskan hubungan di beberapa buah bandar.
Dalam komuniti tepi pantai yang dikelilingi kebakaran di pantai sepanjang 200 kilometer, penduduk ketakutan – dibalut dalam selimut dan topeng muka – berusaha mendapatkan perlindungan berhampiran pantai.
Sesetengah dengan bot memulakan perjalanan di laut dalam gelap, berharap mencari tempat selamat, tatkala krisis kebakaran hutan paling teruk selama beberapa bulan di Australia mendorong tentera dikerah ke tempat tersebut.
Dalam tempoh 24 jam, tiga orang telah maut, lima hilang dan puluhan harta dikhuatiri musnah apabila api merebak ke bandar seperti Batemans Bay, biasanya dipenuhi oleh pelancong ketika cuti musim panas Australia.
“Kami melihat ratusan, ribuan orang di sepanjang pantai, mendapatkan perlindungan di pantai dan di kelab luncur air, kata Shane Fitzsimmons, pesuruhjaya Perkhidmatan Kebakaran New South wales.
“Jalan raya ke barat ditutup. Jalan ke selatan ditutup. Jalan ditutup menuju ke utara,” kata beliau, menambah angin sejuk telah melanda pantai, ‘meredakan’ kebanyakan kebakaran.
Namun, kira-kira empat ribu orang terperangkap di pantai di bandar Mallacoota, di mana kepulan asap menukar siang kepada malam dan kebakaran berhampiran mengakibat gelombang ‘serangan percikan api.’
Pihak berkuasa Victoria berkata lewat hari ini bahawa Mallacoota dan bandar berhampiran masih terputus hubungan, namun kebakaran teruk beransur reda sekarang.
“Saya difahamkan orang ramai bersorak di jeti apabila ia diumumkan,” kata Steve Warrington dari Pihak Berkuasa Kebakaran Negara, di mana ramai orang berasa lega dengan berita baik berkenaan.
Di sesetengah tempat, kebakaran hari ini adalah amat teruk, asap amat tebal dan ribut petir akibat kebakaran amat teruk sehingga pemantauan udara dan pengeboman air terpaksa dihentikan.
Menteri pertahanan Australia berkata Linda Reynolds berkata tiga helikopter, sebuah pesawat udara dan dua kapal tentera laut akan dihantar ke rantau.
Tentera dijangka menjalankan penilaian kerosakan dan mungkin menyediakan makanan, tempat berteduh dan bekalan elektrik malah pemindahan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Pihak berkuasa berkata kemungkinan besar mereka yang terperangkap di pantai akan menghabiskan malam di sana. – AFP